21 November 2017

WARTAWAN KOSMO & UTUSAN - SHILA AMZAH & BAPA MENANG SAMAN


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin telah menolak saman dua wartawan terhadap penyanyi Shila Amzah dan bapanya, N.D Lala atau Amir Hamzah Salleh berhubung isu fitnah dalam sidang media kira-kira dua tahun lalu.

Shila bersama bapanya -  Utusan Malaysia, Ifqdar Rahman (kiri) bersama peguamnya




Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Firuz Jaffril, menolak tuntutan saman difailkan wartawan hiburan akhbar Kosmo!, Maliah Surip, 36 dan wartawan hiburan akhbar Utusan, Mohd Ifqdar Abdul Rahman, 35, selepas mendapati kenyataan oleh Shila dan ND Lala tidak memfitnah.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Firuz Jaffril menyatakan Shila atau nama sebenarnya Nurshahila dan bapanya selaku defenden tidak mempunyai niat jahat terhadap plantif ketika membuat kenyataan.

"Saya mendapati sidang media itu dilakukan tanpa niat jahat, tujuan sidang media dijalankan juga jelas dan kenyataan yang dibuat pada acara tersebut tidak berbaur fitnah," katanya

Beliau berkata, Shila dan bapanya berhak kepada pembelaan komen berpatutan kerana ia membabitkan isu kepentingan awam.

Klik untuk gambar besar


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan kos sebanyak RM30,000 yang perlu dibayar oleh plantif.

Firuz juga turut berkata kos yang diminta oleh defenden sebanyak RM100,000 juga keterlaluan selain menyifatkan artis dan media saling memerlukan antara satu sama lain.

Dalam prosiding yang berlangsung pada Isnin, peguam Ellia Zuraini Mat Zin dan Umi Farhanah Mohd Nasir mewakili kedua-dua wartawan itu manakala Shila dan bapanya diwakili peguam Mahendra Kumar.

Pada 17 Disember 2015, Maliah pantif memfailkan saman itu atas dakwaan kedua-dua defendan telah memfitnah mereka.



Menurut pernyataan tuntutan, pada 15 September 2014, sekeping gambar dengan kapsyen mempersoalkan media Melayu yang dikatakan lebih berminat menulis gosip berbanding pencapaian artis Melayu sebelum gambar itu dimuatnaik penyanyi wanita tersebut.

Kedua-dua defendan kemudian telah mengadakan sidang media di Mega Music World, Cheras pada 24 September 2014 untuk menjawab persoalan para wartawan hiburan mengenai gambar tersebut.

Pada 31 Mac lalu, Shila gagal dalam tuntutan samannya terhadap Maliah dan penerbit akhbar itu, Utusan Melayu (M) Berhad selepas mahkamah mendapati artikel disiarkan akhbar Kosmo!, yang mengaitkan konsert penyanyi itu empat tahun lalu ditaja sebuah syarikat perjudian, tidak berniat jahat.

Mahkamah juga memerintahkan Shila membayar kos sebanyak RM20,000 kepada ketiga-tiga defendan iaitu wartawan hiburan akhbar Kosmo! Maliah Surip, 36, pengarang akhbar itu dan penerbit akhbar berkenaan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.


www.myartis.com / Sumber: mStar & Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: