31 December 2017

TAK PERCAYA BERGELAR AYAH - FIZO PILIH BUKA AKAUN SIMPANAN DARI IG


Semua sedia maklum yang pasangan Fizo Omar dan Mawar Abdul Karim ini telah dikurniakan cahaya mata sulung iaitu seorang bayi perempuan setelah empat tahun menanti.





Kata Fizo Omar, meskipun melihat sendiri proses kelahiran anak sulungnya itu namun sehingga kini dia bagaikan tidak percaya sudah bergelar seorang ayah.

Difahamkan, kerana masalah ketumbuhan rahim yang dihidapi, isterinya melahirkan zuriat mereka seberat 2.78 kilogram melalui proses pembedahan di sebuah hospital swasta pada jam 4.01 petang kelmarin (29 Disember 2017).

"Semasa mengiringi Mawar ke bilik bedah pun saya sudah menangis sebenarnya, melihat proses kelahiran anak kami membuatkan saya betul-betul bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan.

Klik untuk gambar besar


"Akhirnya selepas empat tahun mendirikan rumah tangga, Allah tahu ini adalah waktu terbaik untuk kami menjadi ibu bapa pula," kata Fizo.

Kongsi Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizul Wan Omar, 32, dia juga mahu berterima kasih kepada mereka yang sentiasa mendoakan kebahagian keluarganya ini.

"Terima kasih kepada mereka yang terus mendoakan kami. Alhamdulillah anak dan isteri saya sihat. Dan kini bermula fasa baharu untuk kami suami isteri," ujarnya gembira.

Jika selebriti lain yang berlumba membuka akaun Instagram untuk anak mereka, tetapi berbeza pula dengan Fizo dan isteri yang memilih untuk membuka akaun simpanan demi masa depan anaknya nanti.



Walaupun bayi baru sahaja lahir, Fizo sudah menyimpan matlamat untuk menjadikan anaknya seorang jutawan pada umur 20 tahun nanti. Jadi tidak hairanlah pasangan ini mengenepikan akaun sosial anak.

"Saya akan buka banyak akaun yang berbentuk simpanan wang. Kalau boleh saya nak sasarkan pada umur 20 tahun, anak kami sudah bergelar jutawan.

"Hasrat ini bukanlah angan-angan kosong kerana setiap keluarga perlu merancang masa depan anak-anak. Ia bukan kerana kami mampu tetapi kita kena konsisten menyimpan atau melabur untuk anak.



"Buat masa ini saya belum sedia mempamerkan wajah anak kami dan ia mungkin dilakukan selepas majlis cukur jambul nanti," tuturnya.

Bakal mengumumkan nama anaknya dalam waktu terdekat, kata Fizo setakat ini dia juga sudah menyiapkan satu program khas dalam membantu ibu bapa mendidik anak mereka dengan bantuan beberapa pakar.

"Sebenarnya syarikat produksi sudah menyiapkan satu program khas yang akan disiarkan tidak lama lagi. Dalam program ini juga penonton dalam melihat sendiri perjalanan kami sebagai bakal ibu bapa dari hari pertama Mawar disahkan mengandung.

"Insya-Allah jika tiada apa-apa nama anak saya akan diumumkan tidak lama lagi," tambahnya yang mendirikan rumah tangga bersama Mawar pada 10 November 2013.


www.myartis.com / Sumber: Utusan & Oh Bulan


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: