12 February 2018

JUARA AJL 32 - BILA 'JAMPI' HAEL PUKAU SEMUA


Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-32 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil malam semalam telah berlabuhkan tirainya apabila lagu 'Jampi' nyanyian Hael Husaini dinobatkan sebagai juara.





AJL 32 yang dipancarkan Nivea dan Samsung sebagai penaja utama itu menyaksikan pencipta lagu Ezra Kong dan Hael Husaini membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000, trofi dan baucar CJ Wow Shop bernilai RM10,000.

Manakala naib juara dimenangi oleh komposer Faizal Tahir dan Mike Chan dengan lagu 'Sejati' yang dipersembahkan vokalis Caliph Busker, Azmi Saat. Mereka menerima wang tunai RM35,000, trofi dan baucar CJ Wow Shop bernilai RM2,000.

Tempat ketiga pula disandang lagu 'Tergantung Sepi' ciptaan Ibnu dan Gouffran, nyanyian Haqiem Rusli. Mereka menerima wang tunai RM20,000, baucar CJ Wow Shop bernilai RM2,000 dan trofi.

Bagi peserta Syamel dan Ernie Zakri yang mendendangkan lagu 'Aku Cinta' diumumkan sebagai pemenang Vokal Terbaik. Mereka membawa pulang wang tunai RM12,000, trofi dan baucar CJ Wow Shop RM2,000.

Klik untuk gambar besar


Tidak ketinggalan, aksi bertenaga Altimet yang menyampaikan lagu 'Amboi' melayakkan dirinya menerima trofi Persembahan Terbaik. Altimet menerima wang tunai RM12,000 dan baucar CJ Wow Shop bernilai RM2,000.

Majlis yang dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Pengerusi Media Prima Bhd (MPB), Tan Sri Ismee Ismail, itu digamatkan dengan persembahan bertenaga beberapa artis.

Persembahan 12 finalis AJL diadili 10 juri profesion pelbagai latar belakang iaitu Datuk Mokhzani Ismail, Datuk Wah Idris, Datuk Ramli Sarip, Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah), Helen Yap, Sharon Paul, Edrie Hashim dan Aizat Amdan. Azmeer bertindak sebagai ketua juri.

Penghakiman dilakukan berdasarkan markah sebanyak 80 peratus yang diadili terlebih awal manakala 20 peratus lagi melalui persembahan pada malam kemuncak.



Diangkat sebagai acara muzik tahunan berprestij tempatan, AJL 32 mengangkat 'Fesyen dan Muzik' sebagai tema persembahan.

Segmen pembukaan turut menyerlahkan tema apabila persembahan Stacy, Waris, Ag Coco dan Edrie Hashim menampilkan model tersobor, Nasha Aziz, Aleeza Kassim dan Tinie.

Berkonsepkan era Pop Yeh Yeh, segmen Interlude pula dihangatkan Datuk A Rahman Hassan, Datuk Jeffrydin, Datuk Awie dan Siti Sarah.

AJL 32 menampilkan Alif Satar dan Sherry AlHadad sebagai hos. Pelakon Zulin Aziz mengendalikan kapsul belakang pentas AJL 32. Nana Mahazan dan Shuk Sahar pula bertindak sebagai pengacara karpet merah.






Lagu bertanding AJL 32:

*Akhirnya, Cinta - Salma (Ajai/Slen)

* Aku Cinta - Syamel dan Ernie Zakri (Syamel)

* Aku Yang Sebenar - Hazama & The Penglipur Lara (Datuk M Nasir/Ad Samad)

* Amboi - Altimet (Navigator/Altimet)

* Bayang - Khai Bahar (Alam Harry Khalifah/Patrick Anohada)

* Jampi - Hael Husaini (Ezra Kong/Hael Husaini)

* Lebih Sempurna - Syamel (Syamel/Edry Abd Halim/Boy Anaz)

* Menahan Rindu - Wany Hasrita (Ibnu/Gouffran)

* Sejati - Azmi Caliph Buskers (penyanyi asal Faizal Tahir) (Faizal Tahir/Mike Chan)

* Separuh Mati Ku Bercinta - Dayang Nurfaizah (Ajai)

* Tergantung Sepi - Haqiem Rusli (Ibnu/Gouffran)

* Warkah Untuk Mu - Ara Johari (Hang Nadim/Laq)



www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: