11 February 2018
"MALAS NAK AMBIL TAHU" - IZREEN AKUI KAHWIN ATAS DASAR CINTA
"Kalau saya berkahwin kerana duit, lebih baik saya ambil lelaki kaya. Alhamdulillah, saya masih mampu mencari rezeki. Ini soal cinta dan saya menyayangi suami dengan ikhlas serta sepenuh hati.
"Orang boleh bercakap apa sahaja kerana mereka tidak berada di tempat saya. Siapa yang mahu dicemuh kerana berkahwin dengan suami orang?
"Tetapi, ini soal jodoh dan saya terima apabila ditakdirkan hidup bermadu," kata pelakon Izreen Azminda, 33, yang memberitahu perkahwinannya dan Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude, 30, dibina bukan berlandaskan wang, sebaliknya atas dasar cinta.
Sementara itu, Izreen berkata, tindakannya menutup ruangan komen di laman sosial Instagram berkesan apabila mindanya tidak lagi diracuni komen negatif netizen.
Izreen yang hidup bermadu selepas bernikah dengan pemuzik bebas itu pada 8 Ogos lalu berkata, dia juga tidak lagi mengendahkan cakap orang luar yang cuba mengganggu keharmonian rumah tangganya.
Klik untuk gambar besar
Mengakui bahagia dengan jalan hidup yang dipilih, Izreen berkata, kekuatan suaminya berdepan kecaman menjadi pembakar semangat untuk dia terus mempertahankan perkahwinan mereka.
"Lebih baik saya berdiam diri dan pekakkan telinga daripada ambil tahu apa orang cakap. Saya tidak mahu fokus terganggu hingga menjejaskan kerja dan tanggungjawab sebagai isteri.
"Hidup saya lebih tenang apabila menutup ruangan komen di Instagram. Saya juga mengelak daripada membaca blog hiburan.
"Jika ada kawan yang berkongsi capaian blog yang menyiarkan cerita rumah tangga saya, saya tidak akan buka. Saya malas ambil tahu kerana cakap negatif orang luar hanya akan menjejaskan mood saya untuk bekerja," ujarnya.
Izreen sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Riza pada 2012 dan dikurniakan seorang anak, Muhammad Adrian Umar, 5. Perkahwinan itu bagaimanapun, hanya bertahan dua tahun.
Dalam pada itu, baru-baru ini sekali lagi nama Izreen dikritik netizen gara-gara menjadi penghias muka depan bersama seorang lagi penyanyi yang bergelar isteri nombor dua, Adira untuk edisi Februari sebuah majalah hiburan tempatan.
Kebanyakan netizen berpendapat majalah berkenaan tidak seharusnya mengangkat kedua-dua artis berkenaan sebagai penghias muka depan.
Rentetan itu, pelbagai kecaman telah dilemparkan kepada kedua-dua artis itu dan ia menjadi makin panas kerana ada antara mereka yang mahu memboikot dan tidak mahu membeli edisi majalah berkenaan.
Izreen yang pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama menerusi Anugerah Skrin 2013 itu ketika ditanya mengenai isu tersebut mengambil langkah untuk tidak mahu memberikan penjelasan lanjut.
"Saya tidak mahu lagi bercakap dan memberi sebarang komen mengenai perkara ini," ujarnya ringkas.
Menjawab mengenai kutukan yang dilemparkan terhadapnya, pelakon yang membintangi beberapa drama termasuk Eksperimen Cinta dan 7 Suami itu mengambil pendekatan untuk tidak peduli mengenai kutukan berkenaan.
"Biarlah mereka nak cakap apa pun. Mulut orang bukan kita boleh tutup. Janji hubungan saya dan suami okey serta menjalani kehidupan normal macam orang lain juga.
"Semua itu tidak memberikan apa-apa kesan kepada kami," jelas anak kelahiran Perlis itu yang tidak terkesan dengan kutukan yang dilemparkan kepadanya.
Ditanya mengenai kerjaya lakonannya, Izreen berkata, rutin hariannya tetap sibuk dengan jadual penggambaran sehingga bulan depan.
"Kehidupan kami sangat bahagia. Hidup saya lebih teratur sejak berumah tangga. Jika dahulu, saya tidak kisah hanya makan sekali sehari, tetapi sekarang saya perlu mengutamakan keperluan suami.
"Sebelum keluar rumah, saya akan siapkan sarapan. Jika ada kelapangan apabila penggambaran lewat, saya sediakan sekali makan tengah hari.
"Alhamdulillah, suami tidak cerewet dan akan makan apa sahaja yang dimasak," tuturnya yang bakal muncul dengan drama, Aksara Kasih Ayah dan Orang London Balik Kampung.
www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & Kosmo
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment