03 March 2018

HAMIL 8 BULAN - FAYE ALAMI MASALAH URI, KURANG DARAH MERAH


"Awalnya doktor kata saya berdepan dengan major PP, tetapi menerusi pemeriksaan minggu lalu, doktor maklumkan uri saya berada di tahap satu dan dua di mana uri berada di kedudukan bawah tanpa menutup pintu rahim dan adakala bergerak sedikit di bahagian rahim.





"Doktor juga sahkan saya ada anemia iaitu kurang sel darah merah semasa hamil, yang secara tidak langsung membimbangkan.

"Kerana saya mudah mengalami pendarahan akibat uri bawah dan kalau ada pendarahan yang banyak ia akan menyebabkan saya kehilangan darah," kata pelakon Faye Kusairi, 31, yang kini hamil lapan bulan (35 minggu) anak pertama.

Setiap ibu yang hamil pasti berbeza dugaannya, begitulah dengan Faye. Disebabkan itu, kini Faye banyak berehat di rumah dan menghabiskan masa menjahit bantal untuk anak pertamanya.

"Apa yang mampu saya lakukan sekarang adalah berehat sebanyak mungkin dan berdoa. Mana tahu ada keajaiban. Begitu juga dengan suami dan keluarga yang sentiasa berdoa yang terbaik untuk saya dan anak yang bakal lahir nanti," tuturnya.

Klik untuk gambar besar


Faye yang juga pelumba kereta profesional itu memberitahu masalah uri bawah ini dikesan ketika usia kehamilan 30 minggu.

Diuji dengan Placenta Previa (PP) atau masalah uri di bawah, pemilik nama sebenar Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi tetap positif.

Dalam keadaan ini, Faye redha dengan dugaan yang diberikan namun katanya, suami banyak membantunya ketika hamil.

"Setelah dipaksa oleh suami untuk duduk diam, maka terpaksalah saya turutkan. Lagipun untuk kebaikan saya dan anak juga.

"Alhamdulillah suami sangat memahami dan banyak membantu saya. Keluarga, kawan-kawan dan pengurus juga sama. Mereka tidak lokek menghulurkan bantuan dan saya rasa sangat bertuah," ujarnya.



Tambah Faye, dia juga berasa terharu apabila pengurusnya mengadakan kejutan 'baby shower' buatnya awal Februari lalu.

"Memang terharu sebab dia sanggup merancang semua itu kerana tidak mahu saya terlalu memikirkan mengenai kesihatan.

Alhamdulillah majlis berjalan dengan lancar dan meriah dengan kehadiran sahabat dan kaum keluarga," katanya.

Faye berkata, jika mengikut perkiraan, dia dijangka akan melahirkan anak pada 7 April depan. Bagaimanapun sekiranya diputuskan untuk bersalin awal, dia bersedia untuk menghadapinya.

Bahkan Faye berkata, dia tidak akan bercuti panjang selepas bersalin dan sudah ada beberapa event yang sudah dipersetujui.




www.myartis.com / Sumber: Sinar Hiburan


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: