17 April 2018

ZIANA BERDOA AGAR ABAHNYA 'DIPINJAMKAN' LEBIH LAMA


Dapat meraikan ulangtahun kelahiran ayah, Zain Abdullah atau lebih dikenali sebagai 'Pak Zain', semalam bersama anak-anak adalah perkara yang bermakna bagi penyanyi dan pelakon Ziana Zain.





Mendoakan agar Pak Zain yang dianggapnya 'hero' terus dikurnia kesihatan baik, Ziana bersyukur dapat bersama insan tersayang meraikan ulang tahun ayah yang ke-80.

"Tiada apa yang saya harap melainkan Allah 'pinjamkan' Pak Zain lebih lama buat kami. Kalau boleh, 10 tahun lagi atau lebih lama lagi...

"Moga dilimpahkan dengan kesihatan berpanjangan dan dirahmati Allah," kata penyanyi lagu 'Madah Berhelah' ini.

Klik untuk gambar besar


Ziana bersyukur dikurniakan lelaki hebat dipanggil 'abah' yang tidak pernah berhenti mengambil berat biarpun anak-anak sudah berumah tangga.

"Abah sangat tegas dan penyayang... Dia tidak peduli kalau kami salah, dia akan tegur, tidak kiralah walaupun sudah berkahwin.

"Saya beruntung masih ada lelaki bergelar abah pada usia saya... Ada yang kehilangan bapa sejak muda lagi," ujarnya dalam nada sebak.

Ziana mengaku bapanya antara insan penting yang membantu membina namanya dalam arena seni. Malah, Pak Zain bertindak sebagai pengawal pengiring atau 'bodyguard' yang menemaninya ke mana saja.



Tambah kakak kepada penyanyi Anuar Zain itu, pengorbanan bapanya sangat besar dan tidak mampu dibalas.

"Saya seronok kerana Tuhan bagi peluang kami potong kek bersama abah. Paling bermakna abah dapat potong kek bersama 12 cucunya.

"Saya berdoa abah sihat supaya dia dapat lihat cucu-cucunya membesar dan berjaya melanjutkan pengajian," tuturnya.

Penyanyi lagu 'Syurga Di Hati Kita' itu berpesan kepada peminat supaya sentiasa menjaga dan meluangkan masa bersama ibu bapa sementara mereka masih ada.



"Kita tidak tahu bila masa kita akan kehilangan ibu bapa, jadi bila ada peluang gunakanlah sebaiknya," jelasnya.

Ziana turut memuatnaik klip video di Instagram yang antara lain memaparkan Pak Zain memotong kek bersama anak-anak dan cucu-cucunya.

Setakat ini, klip video berkenaan merekodkan lebih 90,000 tontonan selain mengumpul tanda 'suka' daripada teman artis termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Ziana baru selesai menjalani penggambaran drama 'Mak Cun 4' yang sedang ditayangkan TV3. Ikon fesyen itu juga bakal muncul dalam program Gen F terbitan Astro.




www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: