26 May 2018

IESYA TOH & SUAMI TIMANG ANAK KEDUA, PEREMPUAN


Pada 22 Mei lalu, personaliti televisyen, Iesya Toh dan suaminya, Mohd Huzairee Muhamad meraikan keberkatan bulan Ramadan dengan menyambut kelahiran anak kedua yang merupakan seorang perempuan.





Difahamkan, bayi perempuan pasangan ini dilahirkan dengan berat 2.98 kilogram pada jam 4.43 petang di sebuah hospital di Shah Alam, Selangor.

Menurut Iesya, pada awalnya dia mengunjungi pusat rawatan berkenaan sekadar untuk melakukan pemeriksaan.

"Apabila berada di sana, doktor memaklumkan saya sudah boleh melahirkannya. Jika diikutkan, anak kedua saya ini dijangka kelahirannya pada hujung bulan ini atau awal Jun depan.

Klik untuk gambar besar


"Alhamdulillah, proses kelahiran berjalan lancar. Anak kedua saya ini dilahirkan secara normal, sama seperti abangnya," katanya.

Menurut bekas pengacara Selamat Pagi Malaysia itu, di sebalik kegembiraan menyambut kehadiran cahaya mata kedua, hatinya terusik apabila mengenangkan bapanya, Sanny Toh Abdullah, yang meninggal pada 8 Februari lalu.

"Rasa sakit bersalin bagai bertambah apabila saya terkenangkan ayah yang baru beberapa bulan meninggalkan kami. Ketika berada dalam bilik bersalin, saya sentiasa teringatkannya," tuturnya.



Sementara itu, kata Iesya, buat waktu ini dia dan suaminya belum bersedia menayangkan wajah puteri mereka.

"Kata orang tua, tidak elok wajah anak ditayangkan awal-awal. Jadi, kami menurut saja. Insya-Allah, selepas tujuh hari kelahirannya, baru kami sepakat mendedahkan wajah dan namanya," ujarnya.

Untuk makluman, Iesya berkahwin dengan ahli perniagaan berkenaan pada Mei 2015. Mereka dikurniakan cahaya mata pertama, Harraz Daiyan, setahun kemudian.








www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: