27 May 2018

ISU BERCIUM DEPAN UMUM - FATTAH MINTA MAAF, LAMA TAK JUMPA


Baru-baru ini, aksi romantis pelakon Fattah Amin bersama isteri, Nur Fazura yang dirakam oleh seorang kenalan mereka dan dimuatnaik ke laman sosial itu menyebabkan mereka telah dikritik hebat oleh netizen.





Ketika ditanya isu itu, Fattah menjelaskan yang dia tidak menyedari aksi romantisnya bersama isteri itu dirakam.

Jelas Fattah, tuduhan mereka tidak menghormati bulan Ramadan kerana beraksi mesra adalah di luar kawalannya namun dia meminta maaf jika ia menyinggung perasaan mana-mana pihak.

"Sebenarnya saya dan Fazura memang tak perasan aksi kami dirakam oleh seorang kenalan sebelum dia memuat naik ke laman sosial.

Klik untuk gambar besar


"Apabila perkara itu tular dan kami dituduh tidak menghormati bulan Ramadan ia sebenarnya di luar kawalan saya.

"Perkara pun sudah terjadi dan di kesempatan ini saya ingin memohon maaf kepada peminat dan sesiapa yang tersinggung dengan video berkenaan dan berharap ia tidak akan berulang lagi," katanya.

Menjelaskan situasi sebenar, Fattah berkata, dia sudah beberapa hari tidak bertemu isterinya itu kerana masing-masing sibuk dengan komitmen sebagai selebriti.

Kata Fattah, mereka bertemu di sebuah restoran untuk berbuka puasa dan dia teruja bertemu isterinya itu kerana rindu.



"Saya dan Fazura dah lama tak jumpa jadi apabila kami bertemu di tempat awam kami teruja. Sebagai suami-isteri, salam cium tangan itu biasa dan saya pun ada mencium dahinya dan memeluk isteri saya untuk menghilangkan rasa rindu," jelasnya.

Sementara itu, Fattah berkata, insiden itu akan diambil sebagai pengajaran dan akan lebih berhati-hati selepas ini.

"Apabila ada rakan-rakan memuat naik video kami ia bukan bererti mereka berniat tidak baik tetapi selepas ini saya akan minta mereka berhati-hati.

"Sekurang-kurangnya bertanya terlebih dahulu tentang video yang ingin dimuat naik agar tidak timbul lagi salah faham seperti ini," tuturnya.


www.myartis.com / Sumber: mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: