17 June 2018
MELL TERUJA BERAYA SEBAGAI MUSLIM & ISTERI
"Sebenarnya saya belum bertudung sepenuhnya dan baru belajar menyesuaikan diri. Saya tidak mahu terlalu drastik melakukan perubahan dan semoga ramai doakan yang terbaik untuk saya terus istiqamah.
"Ini adalah pengalaman baru saya menyambut lebaran sebagai Muslim dan isteri. Suami pun sokong saja dan menyuruh saya belajar perlahan-lahan ke arah perubahan lebih baik," kata vokalis Sakura Band, Melley Matius.
Melley atau Mell yang memutuskan untuk bertudung itu pulang beraya di kampung suaminya Wan 6ixth Sense di Bota Kanan, Perak.
Bagaimanapun, Mell, 30, memberitahu bahawa itu adalah percubaan saja dan mengakui baru hendak belajar menjadi muslimah yang lebih baik.
Klik untuk gambar besar
Menurut Mell, dia sangat bersyukur dan seronok dengan pengalaman pertama itu apabila banyak perkara baru dipelajarinya.
"Pengalaman solat sunat dan bersalaman di pagi raya memang sesuatu yang sangat baru buat saya. Paling seronok apabila dapat berkumpul dengan semua keluarga dan menikmati juadah raya seperti lemang serta rendang ayam.
"Saya dan suami pun bersungguh mencari baju raya tahun ini maklumlah ini pertama kali kami menyambutnya sebagai suami isteri," tuturnya.
Mell mengesahkan dirinya sudah memeluk Islam pada Oktober tahun lalu. Kemudian dia berkahwin dengan pemain dram kumpulan 6ixth Sense itu pada bulan November tahun sama.
www.myartis.com / Sumber: Harian Metro
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment