02 July 2018

MENYAMAR SEBAGAI SPRM - BEKAS SUAMI PELAKON KINI BEBAS


Bekas suami kepada seorang pelakon yang direman empat hari sebelum ini bagi membantu siasatan kerana menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini telah dibebaskan oleh Mahkamah Majistret.





Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan membebaskan lelaki berusia 38 tahun itu dengan jaminan SPRM sebanyak RM4,000 dan seorang penjamin.

Mahkamah turut membebaskan seorang lagi individu berusia 37 tahun yang direman empat hari berhubung kes sama sebelum ini dengan jaminan SPRM sebanyak RM4,000 dan seorang penjamin.

Kedua-dua suspek ditahan oleh SPRM di sebuah hotel di Kuala Lumpur, pada 27 Jun lalu dan disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B), Akta SPRM 2009.

Sumber SPRM sebelum ini berkata, suspek dikatakan cuba memperdayakan seorang ahli politik bergelar Datuk kononnya mangsa dikaitkan dengan satu kes SPRM.

Difahamkan, suspek cuba mengaitkan mangsa dengan satu kes SPRM yang tidak wujud dan meminta wang sebanyak RM1 juta daripada mangsa untuk menjadi perantara bagi menyelesaikan kes itu dengan mendakwa mengenali rapat seorang pegawai tinggi SPRM.

Kedua-dua suspek dikatakan menggunakan surat rasmi kerajaan yang diperoleh daripada Internet bagi meyakinkan mangsa.

SPRM turut merampas wang tunai RM50,000 dan dua telefon pintar daripada kedua-dua suspek serta beberapa dokumen berkaitan.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: