07 September 2018

CUKUP SEDEKAD BERLAKON - NABIL MAHU TUMPU BALIK TABIR


"Saya masih mahu berada di set penggambaran, tetapi bukan sebagai pelakon, sebaliknya menjadi penerbit dengan menghasilkan drama dan filem.





"Kepuasan melihat orang lain melontarkan dialog, menggarap idea yang diterjemahkan menerusi skrip dan lakon layar sukar digambarkan.

"Lagipun, sepanjang 10 tahun ini, saya belum mencapai apa-apa kejayaan sebagai pelakon, berbanding kerjaya seni lain.

"Rasanya lebih baik saya hasilkan skrip dan menerbitkan produksi sendiri," kata pelawak dan pengacara popular, Nabil Ahmad yang baru mengetengahkan telefilem, 'The Hantus'.

Klik untuk gambar besar


Sedekad mengukuhkan nama, Nabil mengakui, sudah tiba masa untuk dia berundur daripada dunia lakonan serta menumpukan perhatian kepada tugasan di balik tabir.

Katanya, pendirian mengehadkan kemunculannya di televisyen, kecuali dalam bidang pengacaraan diputuskan kerana dia lebih puas menyajikan penonton dengan naskhah terbitan sendiri.

Pemilik bersama syarikat produksi, KMN Production itu berkata, kejayaan The Hantus mengutip lebih RM1 juta ketika disiarkan menerusi Astro First menyuntik semangatnya menghasilkan lebih banyak naskhah bermesej.

Nabil bagaimanapun berkata, dia masih memenuhi tawaran muncul di skrin televisyen sebagai hos dan pelawak.



"Saya mahu menjadi seperti Mamat Khalid yang dikenali bersandarkan idea kreatif dan karya yang melekat di hati semua kelompok masyarakat.

"Bukan tidak sayang dengan lakonan, namun cukup sampai setakat ini kerana jiwa saya lebih kepada kerja belakang tabir," tuturnya yang bakal tampil bersama telefilem, 'Datuk Setan'.

Sementara itu, Nabil yang pernah menggenggam gelaran Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2008 turut meluahkan perasaan terharu apabila kembali dicalonkan pada musim ini.

Namanya berada dalam senarai awal ABPBH31 untuk kategori Pengacara TV Popular dan Artis Versatil Popular yang bakal diumumkan pada malam kemuncak 7 Oktober depan.




www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: