27 September 2018

DI INDONESIA - SUFIAN RAKAM 'DI MATAMU' VERSI DUET


Bagi memahat namanya di arena muzik Indonesia, penyanyi Sufian Suhaimi memberitahu yang dia telah merakamkan lagu 'Di Matamu' versi duet.





Sekian lama menyimpan impian untuk menembusi pasaran negara jiran, ia terlaksana menerusi kerjasama antara syarikat rakaman yang menaunginya, Aries Music, dengan Musica Studio's.

"Musica Studio's antara label cukup dikenali dalam dunia muzik negara itu. Banyak kumpulan terkemuka bernaung di bawah mereka seperti Peter Pan, Noah dan Geisha.

"Seperti kebanyakan penyanyi lain, saya juga ada impian untuk melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa. Justeru, peluang dihulurkan ini umpama bulan jatuh ke riba.

Klik untuk gambar besar


"Ketika saya terdetik mahu menikmati persekitaran berbeza, peluang mengujakan ini menjelma. Ia waktu yang tepat untuk saya bereksperimen dalam muzik," katanya kepada BH Online.

Sufian yang ketika ini berada di Jakarta berkata, selain peluang merakamkan 'Di Matamu 2.0' bersama kumpulan dari negara itu, Shima, dia juga diberikan ruang untuk mempromosikan lagu terbabit di sana.

"Awalnya, saya tidak tahu lagu mana yang nak dirakamkan bersama kumpulan terbabit. Pada mulanya, saya terfikir hendak merakamkan lagu mereka yang berjudul Berteman Saja, secara duet.



"Bagaimanapun, selepas masuk ke studio rakaman, pihak di sana memberikan susunan lagu Di Matamu versi lain untuk tujuan itu. Susunan muziknya memang tidak sama dengan lagu asal. Saya dapat rasakan, susunan baharu itu mempunyai aura muzik Indonesia.

"Saya akan merakamkan lagu itu bersama vokalis perempuan kumpulan berkenaan," kata calon Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 itu yang akan pulang ke ibu negara pada 29 September ini.

Sepanjang seminggu di sana, Sufian juga akan memenuhi undangan fotografi dan promosi lagu solo Di Matamu di beberapa stesen radio serta televisyen.

Kata penyanyi yang akan turut menjayakan segmen persembahan pada malam kemuncak ABPBH 31, 7 Oktober depan, dia juga bakal menjalani penggambaran video muzik Di Matamu 2.0 ketika berada di Jakarta.






www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: