29 October 2018

TARIK DIRI: BEKAS PENGURUS 'DESAK' - ZAMANI BELUM BUAT KEPUTUSAN


"Johan tiada hak membuat keputusan kerana dia hanya bekas pengurus kepada Zamani. Dia sekadar mengambil kesempatan di atas apa yang berlaku minggu lepas kerana sejak awal lagi tidak bersetuju Zamani menyertai GV5," ujar pengurus penyanyi Zamani, Aalan Ahmad.





Aalan mengulas tentang kenyataan bekas pengurus Zamani iaitu Johan Aziz yang mahukan pelantun 'Gerimis Mengundang' itu menarik diri daripada Gegar Vaganza musim ke-5 (GV5) sebagai menangguk di air yang keruh.

Dalam pada itu, Aalan memberitahu buat masa sekarang, keadaan kesihatan penyanyi Zamani menjadi keutamaan dan sebarang keputusan tentang perjalanannya dalam GV5 akan dibuat dalam tempoh sehari dua lagi.

"Zamani tidak mahu dikatakan mengambil kesempatan jadi pihak pengurusan masih berbincang tentang langkah terbaik yang perlu diambil.

"Memang ada kemungkinan Zamani akan menarik diri daripada GV5 jika keadaan kesihatan dan peti suaranya tidak mampu untuk meneruskan pertandingan," katanya.

Klik untuk gambar besar


Peserta program realiti itu masih belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk menerima atau menolak imuniti yang diberikan kepadanya.

Vokalis kumpulan Slam itu yang tidak dapat meneruskan nyanyian lagu dendangan Flybaits bertajuk Mengapa 'Perpisahan Yang Kau Pinta' sewaktu persembahan di minggu kelima GV5 pada malam Ahad lalu sepatutnya tersingkir selepas mendapat markah kosong daripada pihak juri.

Namun dia diselamatkan dan layak ke minggu keenama selepas menerima imuniti daripada penaja utama rancangan, Datuk Seri Aliff Syukri.

Sebelum ini bekas pengurus memberitahu bahawa penyanyi itu wajar menarik diri daripada program realiti tersebut selepas dibelenggu masalah kesihatan yang teruk.



"Saya tidak rasa keadaan kesihatan Zamani boleh pulih hanya dalam masa seminggu kerana keadaan peti suaranya yang koyak itu agak serius.

"Saya bimbang jika dia teruskan juga menyanyi di minggu keenam, peti suaranya akan mengalami kerosakan lebih teruk," ujarnya.

Sementara itu, Aliff pula memberitahu dia memilih untuk memberikan imuniti tersebut kepada pelantun Gerimis Mengundang itu kerana berasakan tidak adil untuk menghalau orang sakit daripada pertandingan.

"Semoga imuniti bernilai ratusan ribu ringgit yang saya gunakan ke atasnya berbaloi," tutur pengasas produk D'Herbs itu.


www.myartis.com / Sumber: Kosmo


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: