15 December 2018

"AWALNYA, MARAH JUGA... TERASA HATI" - WANY & TAJUL BERSELISIH FAHAM


Disebabkan oleh kenyataan 'tak relevan' dikeluarkan baru-baru ini, penyanyi Wany Hasrita dan rakan duetnya, Tajul, mengakui ada berlaku perselisihan faham antara kedua-dua mereka.





Namun, penyanyi yang popular menerusi lagu 'Menahan Rindu' itu memberitahu yang semuanya sudah pun kembali reda.

Wany, 26, berkata, dia sendiri bersemuka dengan Tajul dan jelaskan apa yang sebenarnya berlaku apabila muncul kenyataan yang mengatakan duet kedua-dua mereka tidak lagi relevan.

"Saya jenis yang akan berjumpa dan bercakap depan-depan kalau ada masalah. Pada awalnya, dia marah juga, tapi saya jelaskan kepada dia bahawa bukan maksud saya mengatakan bahawa kami sudah tidak relevan untuk berduet.

Klik untuk gambar besar


"Apa yang saya maksudkan adalah, ada peminat yang mengatakan bahawa kami sudah tidak relevan untuk berduet dan sudah tiba masanya untuk kami fikirkan sesuatu supaya dapat memberikan karya yang lebih segar kepada peminat," katanya.

Wany juga menolak beberapa keluhan netizen yang mengatakan dia lupa akan jasa Tajul yang meningkat naik bersamanya.

"Saya naik lebih kurang sama dengan dia dan sudah melalui zaman susah dan senang bersama. Tak mungkin saya akan lupakan Tajul begitu saja," jelasnya.



Sementara itu, Tajul, 20, pula mengakui terkejut apabila terbaca kenyataan Wany tersebut dan pada awalnya, menganggap ia sebagai gimik.

"Saya ingatkan ia adalah gimik. Jadi, saya terus menghubungi syarikat rakaman kami, FMC untuk mendapatkan kepastian. Bila mereka sendiri pun tidak tahu menahu, saya akui memang ada terasa hati dengan kenyataan itu," ujarnya.

Namun, kedua-dua mereka tidak menganggap itu sebagai masalah besar memandangkan Wany dan Tajul berkawan dan berada di bawah pengurusan yang sama.

Terbaru, mereka lagi mempromosikan single duet terbaru mereka, ;Aku Serius; yang video muziknya sudah mencecah lebih satu juta tontonan di YouTube.




www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: