29 December 2018

AWIE WINGS: "DIBERI ALLAH PELUANG UNTUK BERTAUBAT"


"Saya anggap sakit ini sebagai peringatan daripada Allah untuk menguji kekuatan iman. Jika ditakdirkan nyawa saya diambil, saya reda dan bersyukur kerana diberi Allah peluang untuk bertaubat," kata vokalis Wings, Datuk Awie yang menderita sakit misteri menyifatkan ia sebagai ujian yang mendekatkan lagi dirinya kepada Allah SWT.





Awie atau nama penuhnya, Ahmad Azhar Othman, 50, juga terharu apabila ramai yang tampil membantu untuk melihatnya kembali sembuh.

Lebih membuatnya tersentuh apabila penduduk di kawasan kejiranannya turut menganjurkan solat hajat untuk mendoakan kesejahteraannya, baru-baru ini.

"Sebelum jatuh sakit, saya mula berjinak-jinak menyertai aktiviti keagamaan di surau berdekatan kawasan kediaman.

"Alhamdulillah, geng baharu ini banyak membantu ketika saya dalam kesusahan. Mereka langsung tidak berkira, malah turut membantu mencari pakar dalam ilmu perubatan alternatif untuk merawat saya," ujarnya.

Klik untuk gambar besar


Sebelum ini, Awie terlantar hampir seminggu di sebuah pusat perubatan di ibu negara selepas mengalami kesukaran bernafas.

Penyanyi itu turut mengadu sakit perut, selain bahagian belakangnya pula terasa dicucuk dengan benda tajam yang membara.

Dalam perkembangan lain, Awie berkata, dia baru menjalani sesi rawatan alternatif sebagai usaha untuk merawat sakitnya itu.

"Sudah hampir tiga tahun saya menderita. Sekejap baik, namun tidak lama selepas itu, sakit itu kembali menyerang.



"Namun, saya percaya dengan kuasa Allah, selain mengikut nasihat ustaz supaya terus berdoa dan mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa," tuturnya.

Ditanya mengenai aktiviti seninya, Awie berkata, dia masih menerima tawaran persembahan, namun perlu memberi keutamaan kepada undangan yang sudah dipersetujui.

"Saya tetap cuba penuhi undangan nyanyian kerana ia sebahagian daripada punca pendapatan utama untuk menyara keluarga," jelasnya.

Terdahulu, pada 2012, Awie pernah memaklumkan dirinya mengalami sakit misteri hingga terpaksa mendapatkan rawatan dengan pengamal perubatan alternatif di Perak.




www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: