26 January 2019

BAGI MEMBANTU KELUARGA ZAIBO - ADIK ANGKAT ANJUR ACARA AMAL


Pengasas Positive Music 4 Positive People (PM4PP) yang juga adik angkat pelawak dan pelakon Zaibo iaitu Saiful Azlan Freezailah, 42, memberitahu yang dia ralat tidak berkesempatan membantu Allahyarham ketika hayatnya.





Dek kerana itu, Saiful berkata, dia menganjurkan persembahan amal mengingati pelawak terbabit di The Space, Oasis Village, hari ini dan persembahan Remembering Zaibo itu diadakan dengan matlamat mengumpul dana bagi membantu keluarga arwah.

"Saya mengenali arwah sejak kecil, tetapi kami terpisah selama beberapa tahun apabila saya mengikuti keluarga ke Jepun. Apabila mengetahui keadaan arwah pada Oktober tahun lalu, saya cuba menghubungi keluarganya, tetapi gagal.

"Kemudian, saya dimaklumkan arwah sudah meninggal ketika saya merancang untuk membantunya. Berikutan itu, saya teruskan juga niat berkenaan dengan mengadakan persembahan amal ini," katanya.

Zaibo atau nama sebenarnya Zainal Ariffin Abdul Hamid meninggal dunia pada 14 November tahun lalu akibat penyakit kanser esofagus.

Pelakon watak Pak Selamat dalam sitkom Spanar Jaya itu meninggalkan isteri, Siti Hawa Sawal, 52, dan sembilan anak, termasuk empat yang masih bersekolah.

Klik untuk gambar besar


Kata Saiful, persembahan amal terbabit turut disokong oleh Siti Hawa dan keluarganya.

"Beliau ada memberitahu saya, arwah menyimpan impian untuk memiliki galeri mini sebagai kenangan 40 tahun dirinya dalam bidang seni. Sumbangan kami peroleh nanti mungkin dapat membantu merealisasikan impian arwah.

"Selain itu, semua sumbangan akan dihulurkan kepada isterinya bagi meringankan kehidupan mereka sekeluarga," ujarnya.

Tiket bagi acara yang berlangsung dari jam 1 tengah hari hingga 9 malam itu dijual pada harga RM20 dan boleh didapati di pintu masuk dewan acara.

Antara 21 pemuzik dan pelawak yang akan menjayakan acara amal berkenaan termasuk Noh Salleh, Kayda Aziz, Penunggu, Airwaves on Fire, Skies Are Red, Papi Zak, Nizam Jentik Jentik, Faisal Merican dan Juliana Heng.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: