02 February 2019

DISUNTING ASFAN SHAH - FENDY BAKRY CABAR DIRI CEBURI SENI SUARA


"Saya hanya cuba mencuri peluang dan berkongsi sedikit bakat yang ada. Saya menyertai dunia seni suara bukanlah untuk menyaingi penyanyi berpengaruh sedia ada, sebaliknya sekadar mencuba pasaran dan memeriahkan industri muzik kita.





"Saya sedar, diri ini bukanlah penyanyi dengan suara hebat, seperti beberapa vokalis terkemuka negara. Begitupun, dengan kepercayaan diberikan, sedikit sebanyak saya mampu berkongsi kemampuan yang ada.

"Pihak Asfan sendiri sudah maklum bentuk muzik atau lagu yang serasi dengan saya, seperti yang sering saya nyanyikan ketika berhibur di pusat karaoke," kata pelakon Fendy Bakry yang mencabar diri dengan meneroka dunia seni suara pula selepas bakat lakonannya mula mendapat perhatian ramai sejak tahun lalu.

Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 memaklumkan, dia disunting oleh komposer dan penyanyi terkenal, Asfan Shah, untuk bernaung selama setahun di bawah label miliknya, Blackbeast Entertainment.

Klik untuk gambar besar


Pelakon drama 'Mr Grey' dan 'Kan Ku Kejar Cinta Kamu' itu akan menandatangani kontrak bersama syarikat terbabit, bulan ini, sekali gus merakamkan single sulung yang dijangka dilancarkan Mac depan.

Menurut Fendy atau nama sebenarnya Mohd Affandi Nor Bakri, 30, dia berbangga apabila komposer terbabit bersedia memberikan peluang kepada pelakon sepertinya untuk menggilap bakat nyanyian mereka. Kata Fendy, suaranya lebih terarah kepada genre pop dan jazz.

"Kalau nak diberikan contoh rujukan, suara saya lebih kepada Datuk Jamal Abdillah dan Zamani. Kata orang, penyanyi bersuara jantan. Begitupun, nada suara saya tidaklah setinggi mereka.

"Jadi, Asfan menghasilkan lagu mengikut keupayaan vokal saya. Ia boleh dikatakan sebuah karya dengan melodi urban yang disuntik rentak balada 'kampung'," ujar Fendy yang baru saja selesai menjalani penggambaran telefilem, 'Lelaki Kacak Dari Dhaka', arahan Shuhaimi Lua.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Fendy Bakry


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: