20 February 2019

NAFI LAGU 'SEMAKIN' DIBELI, DICIPLAK - SHUIB SEPAHTU TAMPIL JELASKAN


"Saya yang tulis lirik dan menghasilkan lagu itu... Tak timbul soal lagu itu dibeli. Apa yang berlaku (pada AJL 33) berpunca kesilapan kita sendiri kerana susunan muziknya mirip lagu 'Matahariku'.





"Sarah beritahu Aepul Roza agar muzik lagu 'Semakin' dihasilkan sebegitu. Tetapi, apabila di pentas final AJL 33, kita tukar susunan muzik lagu itu agar tidak kedengaran sama.

"Namun, ada pihak yang mempertikaikan kenapa diubah. Sarah beritahu, ini lagu dia, jadi dia nak ada 'bunyi-bunyi' macam lagu Matahariku," demikian jelas pelawak yang mula berjinak-jinak dalam bidang penciptaan lagu, Shuib Sepahtu.

Shuib menafikan single 'Semakin' dendangan isterinya, penyanyi Siti Sarah tidak asli atau mirip lagu Agnes Monica, 'Matahariku', hingga kecundang di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33. Malah, Shuib, 34, mempertahankan lagu itu adalah hasil ciptaannya sendiri, bukannya dibeli.

Menghuraikan lebih lanjut kontroversi lagu 'Semakin', Shuib berkata, ketika ia dirakamkan, Sarah meminta susunan single itu mirip lagu dendangan penyanyi Indonesia itu. Shuib berkata, sebelum ini, dia pernah membangkitkan kepada Sarah mengenai isu lagu itu yang mirip 'Matahariku'.

Klik untuk gambar besar


Penulis dan komposer lirik lagu 'Semakin' itu membidas kenyataan beberapa pihak yang mendakwa lagu sulung ciptaannya itu tidak mempunyai keaslian.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 35, mengakui susunan muzik berkenaan hampir menyerupai lagu 'Matahariku' nyanyian Agnes Monica, namun tidak bersetuju apabila lagu itu dikaitkan dengan isu menciplak dan membeli karya.

Dedah Shuib yang menggunakan nama pena 'Mera Utama' dalam lagu berkenaan, 'Semakin' mempunyai lima versi susunan muzik sebelum dirakam dan diterbitkan.

"Apabila ada orang cakap 'Semakin' tidak mempunyai keaslian, saya tidak terima sebulatnya pendapat itu. Sebelum proses rakaman bermula, kita mempunyai pelbagai versi susunan lagu, sehinggalah Siti Sarah menyerahkan lagu 'Matahariku' sebagai rujukan.



"Saya rasa kesilapan adalah di peringkat susunan muzik terakhir yang menjadikan 'Matahariku' sebagai rujukan," katanya ketika ditemui di Majlis Doa Selamat Hot FM dan Kool FM di sini semalam.

Terdahulu, Pengurus kepada penyanyi Siti Sarah, Nana Mohamad Rom telah menafikan dakwaan menciplak atau membeli lagu sebaliknya 'Matahariku' dijadikan rujukan ketika proses rakaman 'Semakin' dilakukan.

Sementara itu, Shuib berkata, dia tidak merajuk atau berkecil hati dengan komen juri AJL 33, sebaliknya belajar daripada kesilapan itu.

Malah, penyampai stesen radio Hot FM itu merancang menghasilkan single baharu untuk Sarah dengan kemungkinan sebuah lagu dipertandingkan pada AJL ke-34. Shuib berkata, ketika ini, ada dua hingga tiga lagu baharu yang akan diberi kepada isterinya itu.



"Saya tak cakap terima bulat-bulat komen juri. Cuma, kesilapan kita sendiri daripada segi susunan muzik. Kita sudah belajar daripada kesilapan itu... Saya tak berkecil hati atau merajuk untuk menghasilkan lagu buat Sarah.

"Single kedua lebih kurang sama dengan 'Semakin'. Ada satu lagi single dihasilkan untuk dipertaruhkan di pentas AJL akan datang," katanya.

Lebih selesa memberikan lagu ciptaannya kepada isteri berbanding artis lain, Shuib mengaku segan menyerahkan karyanya kepada penyanyi lain.

"Ini kali pertama kita masuk AJL dan harapan hendak menang memang ada. Tetapi tidaklah kecewa teruk kerana kalah... Kita gembira pada masa itu.

"Ini kerana saya tak sangka, beginilah kalau masuk AJL di mana kita ada pasukan daripada menjaga tata rias hinggalah buat rambut. Selepas selesai AJL, kita duduk berbincang dan kalau ada rezeki lagi tahun depan, hendak rasa lagi," ujarnya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Kosmo & Instagram Shuib Sepahtu


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: