01 March 2019

TAK MAMPU, BERGANTUNG BANTUAN - ANAK P RAMLEE, SAZALI TERPAKSA IKAT PERUT


Disebabkan tidak mampu bekerja selepas terbabit dalam kemalangan pada 2012, anak kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee iaitu Sazali, 61, yang juga pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) kini hanya bergantung kepada bantuan bulanan RM650.





Dalam keadaan kesihatan diri dan isteri yang tidak menentu, Sazali berkata, dia terpaksa mengasingkan perbelanjaan perubatan, termasuk kos pengangkutan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sebanyak RM90 setiap sebulan.

"Sejak menjalani pembedahan lutut pada 2012, disusuli pembedahan pinggul tiga tahun selepas itu, saya dinasihatkan tidak membuat kerja berat. Untuk bergerak juga susah sampai menggunakan tongkat.

"Ketika itu, isteri masih mencari rezeki dengan bekerja di kantin sekolah yang terletak kira-kira 20 minit berjalan kaki dari rumah. Selepas dia mengalami sakit tulang belakang sejak dua tahun lalu, kami tiada punca pendapatan lain.

"Lembaga Zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada memberikan bantuan bulanan. Itulah duit makan kami suami isteri. Kadangkala, terpaksa ikat perut untuk menyediakan kos rawatan susulan isteri di hospital," katanya.

Sazali berkata, dia juga perlu memperuntukkan RM90 bagi membayar tambang kereta sewa untuk memastikan tidak terlepas temu janji doktor.

"Saya tiada pilihan lain kerana tidak pandai memandu kereta atau menunggang motosikal. Dalam keadaan kesihatan sekarang, saya dan isteri terpaksa menggunakan khidmat orang lain untuk menghantar serta mengambil kami dari hospital," ujarnya.

Sazali yang sebelum ini bekerja sebagai pekerja am di Alam Flora terjatuh basikal dalam perjalanan pulang ke rumah apabila terlanggar lubang disebabkan hujan lebat pada penghujung 2011.

Dia bagaimanapun, bersyukur apabila ahli keluarga isterinya banyak membantu, selain membenarkan mereka mendiami rumah pusaka ibu mentua yang turut dihuni bersama keluarga abang iparnya sejak tiga dekad lalu.

Isterinya, Hamidah Hitam, 55, pula menjalani pembedahan bahagian tulang belakang, lima bulan lalu dan masih perlu menjalani fisioterapi berjadual dan rawatan susulan bagi mengelakkan masalah bertambah kronik.

"Kalau sihat, saya enggan menyusahkan sesiapa. Biarlah kami makan apa yang ada, tetapi keadaan kesihatan kami berdua tidak menentu. Sekarang, untuk membongkokkan badan pun susah, manakala isteri turut menderita sakit leher kesan daripada keadaan tulang belakang.

"Memang kami terpaksa pergi jauh memandangkan di kawasan tempat tinggal di Semenyih, tiada hospital kerajaan. Namun, kami tetap bersyukur kerana masih ada yang sudi bertanya khabar," tuturnya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: