07 April 2019

ISU DI FFM: "FITNAH SEMATA-MATA... TAK PATUT DIBANGKITKAN" - FATTAH RALAT


"Saya sudah menjalankan tanggungjawab saya sebagai penyampai trofi seperti apa yang diminta oleh pihak penganjur yang telah disertakan bersama kontrak. Ingin saya menegaskan di sini yang mengatakan saya memandai naik ke atas pentas bersama Fazura adalah fitnah semata-mata.





"Tidak mungkin ada artis yang boleh main langgar untuk naik ke atas pentas. Malah perkara ini tidak masuk akal apabila mengatakan isteri saya yang memandai 'request' untuk kami digandingkan," demikian kata pelakon dan penyanyi Fattah Amin.

Suami kepada aktres Nur Fazura itu menegaskan kontroversi yang timbul adalah fitnah semata-mata dan dia tidak mengenakan sebarang syarat mengenai gandingannya bersama isteri, aktres Fazura di malam Festival Filem Malaysia 30 (FFM30).

Menurut Fattah, dia hanya menjalankan tanggungjawab yang telah ditugaskan kepadanya. Tambah pelakon 'Hero Seorang Cinderella' ini, dia berasa ralat dan terkesan dengan isu ini.

"Inilah kehidupan artis. Perkara seperti ini saya tidak minta untuk berlaku namun apabila terjadi semestinya saya akan mempertahankan diri.

Klik untuk gambar besar


"Semestinya saya ralat dan terkesan kerana perkara ini memburukkan nama saya. Saya ada nama yang perlu dijaga malah pihak pengurusan saya sendiri menitikberatkan tentang imej saya. Selebihnya saya menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk mengambil tindakan susulan," ujarnya lagi.

Menegaskan kemunculannya sebagai penyampai trofi pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-30, minggu lalu, adalah atas permintaan penganjur, justeru, Fattah berasa ralat apabila dimaklumkan kemunculan di pentas bagi penyampaian trofi Anugerah Khas Juri adalah membabitkan pemenang FFM terdahulu.

Fattah turut berkata, kontroversi yang timbul tidak lebih daripada fitnah dan dia sendiri tidak mengenakan sebarang syarat bagi kemunculan pada mana-mana majlis.

"Semestinya saya berasa ralat dan terkesan apabila diberitahu mengenai gandingan penyampai bagi kategori itu adalah bekas pemenang FFM sebelum ini. Saya sama sekali tidak tahu menahu, sebaliknya sekadar memenuhi tanggungjawab atas permintaan penganjur.



"Beberapa minggu sebelum majlis, dimaklumkan kehadiran saya mengikut kontrak sebagai 'trigger' bagi memberikan elemen kejutan. Malah, saya juga tidak dimaklumkan mengenai kategori yang memerlukan saya naik ke pentas.

"Saya menganggap isu ini sebagai fitnah kerana saya tidak pernah meletakkan syarat, apatah lagi untuk tampil sesuka hati. Walaupun belum cukup lama berada dalam industri ini, saya tahu tindakan sebegitu adalah tidak profesional," tuturnya.

Menurut Fattah, sebagai selebriti, dia pasti terkesan dengan isu yang timbul kerana ia mencalarkan imej dan kredibiliti dirinya.

"Namun, saya akur dengan lumrah kehidupan sebagai anak seni. Perkara sebegini adalah sesuatu yang perlu saya tempuh. Permulaan saya dalam industri juga bukan dengan cara yang mudah.



"Pelbagai kritikan dan kecaman diberikan, namun ia menjadikan saya lebih matang. Saya pasti dugaan Allah ada hikmahnya," kata Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH 3.0 itu.

Menurutnya, urusan antara Finas dan Astro biarlah diselesaikan sesama mereka dan dia tidak boleh masuk campur. Fattah mengakui isu ini tidak patut dibangkitkan dan dia kesal dengan apa yang berlaku.

"Begitu juga hal Fazura dengan Hans, saya tak boleh masuk campur dan bagi kenyataan. Cuma, saya nak jelaskan tak mungkin seseorang artis nak 'main langgar' protokol masuk tv.

"Itu tak masuk akal. Tak logik juga jika nak katakan saya pandai-pandai meminta tampil atas pentas dengan Fazura. Sudah tentu saya dan Fazura kena ke depan untuk mempertahankan diri apabila isu ini tular.



"Lagipun bukan kami yang terlebih dahulu buka cerita ini. Selebihnya saya serahkan kepada pengurusan saya untuk ambil tindakan susulan," jelasnya.

Terdahulu, Fazura menafikan desas-desus penampilannya dan Fattah sebagai penyampai trofi di FFM adalah atas permintaan peribadi.

Fazura turut mendakwa dia menerima mesej melalui kiriman WhatsApp daripada rakan penyampai, pengarah dan pelakon Datuk Hans Isaac yang menyatakan rasa kecewa atas apa yang berlaku, terutama permintaan Fazura untuk digandingkan dengan Fattah yang disifatkan tidak mengikut tema slot berkenaan.

Dalam pada itu, Hans menegaskan kiriman mesej yang dihantar kepada aktres Fazura adalah bersifat peribadi. FFM30 yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) itu diadakan di Pusat Konvesyen Antarabangsa (PICC), Sabtu lalu.


www.myartis.com / Sumber & foto: Astro Gempak, Berita Harian, Harian Metro, Instagram Fattah Amin, @rizmanruzaini, Nur Fazura & Hans Isaac


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: