18 April 2019

USAHA BERNIAGA DIPERLEKEHKAN - ZARA ZYA AKUI TAK MUDAH BERTAPAK


"Saya pelik... Jual gincu, orang kata bibir tak cantik pun nak jual gincu. Apabila jual kanta lekap, dituduh tiru bisnes orang lain. Apabila saya cuba jual produk pelangsingan badan, mereka kata saya sudah kurus, jadi tak payahlah menipu pelanggan.





"Saya tertanya-tanya, hina sangatkah saya berniaga? Bukan senang hendak menjadi peniaga. Orang mungkin ingat jadi artis ada laluan mudah dalam bisnes. Sedangkan saya bertahun-tahun cuba bertahan... Buat semua kerja sampai membungkus dan mengepos sendiri barangan.

"Tak cukup itu, saya ditipu dan pernah produk tak laku biarpun promosi hari-hari... Semua saya sudah rasa," demikian tutur pelakon Zara Zya yang kesal segelintir netizen suka mencaci memperlekehkan usahanya berniaga.

Pelik dengan sikap itu, Zara menjelaskan, biarpun menjadi selebriti, laluan untuk dirinya bertapak dalam dunia perniagaan bukanlah mudah disangka.

Klik untuk gambar besar


Zara kesal segelintir netizen berfikiran sempit kononnya dia mengaut untung atas angin malah ada yang terang-terangan mengkritiknya di laman sosial.

Lebih mengejutkan, dakwa Zara, anggota keluarganya turut terkait dan dihina beberapa individu dalam komen yang dilayangkan. Dalam masa sama, Zara sedar karier lakonannya tidak menyerlah.

"Jika diikutkan, saya enggan beri kenyataan kerana terlalu sedih dan emosi. Namun, saya masih mahu kongsi dengan peminat apa yang dilalui sejak berniaga. Entah apa yang mereka sakit hati, saya pun tak faham. Lebih pelik ada yang sudah kaya dan berpengalaman dalam menjual produk, mengata saya.

"Sedangkan saya tak jual barang yang sama dengan dia. Saya fikir tak mampu bertahan sehingga tua dalam industri seni ini. Jadi, bermula dari sekarang, saya perlu mencari tapak (sumber pendapatan sampingan)," katanya.




www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & Instagram Zara Zya


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: