17 June 2019
'BERSYUKUR SEADANYA' DIKATA TIRU 'NEW RULES', 'ANAK IKAN' - HAEL HUSAINI NAFI
Dalam sibuk menerima undangan persembahan, penyanyi Hael Husaini sempat melancarkan lagu raya pertamanya berjudul 'Bersyukur Seadanya'. Lebih manis, peminat begitu gemar dengan lagu dan klip video lagu tersebut sehingga menjadi sohor kini dalam YouTube. Hael ditanya adakah telah dirancangkan bahawa setiap lagu yang anda hasilkan perlu berada pada kedudukan tertinggi? Ini kata Hael:
"Tidak juga. Apabila saya berkarya, saya tidak pernah meletakkan sebarang sasaran. Apabila lagu 'Bersyukur Seadanya' diterima ramai, saya sendiri dengan rasa rendah hati bersyukur kerana karya saya masih diterima walaupun berbentuk lagu raya.
Menerusi klip video berkenaan, ramai mengatakan Hael meniru 'New Rules' nyanyian Dua Lipa dan dalam masa sama, ada yang mengatakan klip video berkenaan berkonsepkan 'anak ikan' (individu yang hidupnya ditaja pihak lain). Hael bagaimanapun menafikan meniru konsep lagu nyanyian Dua Lipa dan mempromosikan budaya anak ikan.
"Sebenarnya, banyak penyanyi yang pernah tampil dengan gerakan seragam dalam klip video mereka. Jadi, tidak timbul isu meniru. Berkenaan dengan isu 'anak ikan' pula, konsep klip video 'Bersyukur Seadanya' mengambil inspirasi suasana beraya di kampung dengan adik-beradik dan saudara-mara yang tidur beramai-ramai di rumah keluarga," jelasnya.
Sejak tiga tahun kebelakangan ini, perjalanan karier Hael boleh dikatakan sedang berada di puncak. Meraih kemenangan dalam Anugerah Juara Lagu sebanyak dua kali berturut-turut menerusi lagu 'Jampi' dan 'Haram', kredibiliti pemilik nama lengkap Hael Husaini Razmi itu semakin dipandang tinggi.
Klik untuk gambar besar
Justeru, tidak mustahil jika Hael sering menjadi rebutan penganjur acara-acara hiburan dan majlis-majlis korporat. Sungguhpun terpaksa melalui hari yang memenatkan, namun lelaki berusia 32 tahun itu tidak melihat perkara tersebut sebagai satu hal yang membebankan.
Biarpun terpaksa berada di Singapura pada siang hari dan terbang semula ke Kuala Lumpur pada sebelah malam demi komitmen persembahan baru-baru ini, Hael melihat kesibukannya sebagai rezeki daripada Tuhan. Dalam pada itu, Hael turut berkongsi mengenai kejayaan lagu hari raya pertamanya, 'Bersyukur Seadanya' yang kini menerima lebih 2.5 juta tontonan selepas dilancarkan pada Ramadan lalu.
"Sejujurnya, saya lihat undangan yang diterima sebagai punca rezeki. Kalau mahu fikirkan soal penat, ya memang penat. Cuma, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya sudah terbiasa bekerja keras hampir setiap hari. Jadi, saya memang tidak mempunyai masalah untuk berbuat demikian tahun ini.
"Jika dulu saya boleh bekerja tanpa rehat, namun mungkin antibodi pada usia sekarang sudah mula menurun. Jadi, saya kerap jatuh sakit. Tetapi, saya tetap berjumpa doktor untuk memastikan kesihatan saya tidak terganggu," ujarnya yang dilihat begitu sibuk memenuhi undangan nyanyian sepanjang bulan Ramadan, walhal, artis lain memilih untuk memperlahankan karier sepanjang tempoh berpuasa.
www.myartis.com / Sumber & foto: Kosmo & Instagram Hael Husaini
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment