07 July 2019

IKUT JEJAK - ANAK EIZLAN YUSOF, ZAREEF LALUI 'PAHIT GETIR' JADI PELAKON


"Satu perkara yang saya tanya kepadanya setiap kali pulang daripada set penggambaran, adakah dia rasa berlakon menyusahkan atau menyeronokkan. Zareef jawab dia sangat seronok. Mendengar jawapan itu sahaja sudah cukup untuk saya. Dia tidak pernah mengadu domba mengenai kepayahan yang terpaksa dilalui," demikian kata pelakon berpengalaman Datuk Eizlan Yusof mengenai anak lelaki tunggalnya, Zareef Yusof yang mengikut jejak langkahnya iaitu menjadi seorang pelakon.





Eizlan menjelaskan dia mahupun bekas isteri, Vie Santie Harun tidak berasa sedih melihat anak kedua yang kini berusia sembilan tahun itu muntah kerana terpaksa makan ikan dan menjerit geli apabila badan dilumur lumpur sewaktu menjalani penggambaran drama 'Mak Cun' musim kelima.

Eizlan berkata, dia mengizinkan Zareef terus berlakon walaupun anaknya itu melalui situasi kurang menyenangkan ketika menjayakan beberapa babak dalam drama diterbitkan Erma Fatima. Ketika dihubungi, Eizlan menjelaskan, walaupun Zareef harus melakukan perkara yang tidak digemari sepanjang terbabit dengan penggambaran drama 'Mak Cun' musim terbaru itu, anak lelakinya tidak pernah bersungut.

Klik untuk gambar besar


Sebelum ini Erma mahupun Eizlan sendiri ada berkongsi rakaman video yang menunjukkan Zareef muntah sebaik sahaja babak dia disuap makan ikan oleh Mak Cun tamat. Begitu juga rasa geli yang ditunjukkan Zareef apabila dilumur selut. Kata Eizlan, membintangi drama bersiri 'Mak Cun' adalah kehendak Zareef sendiri dan bukan kerana disuruh dia atau Vie Santie

"Bagaimanapun, sebagai bapa yang juga pelakon selalu berkongsi pengalaman dengan Zareef, saya turut menunjukkan yang saya juga pernah bermandi selut bagi menjayakan sesuatu babak dalam drama mahupun filem. Selepas dijelaskan Zareef akan faham," ujarnya.

Kata Eizlan lagi, anak-anaknya memang meminati dunia lakonan walaupun dia tidak pernah menggalakkan. Cuma, anak kecilnya Vie Zaalia, 6, tidak dibenarkan terbabit dengan dunia lakonan kerana masih kecil. Menurut Eizlan lagi, anaknya hanya dibenarkan berlakon apabila musim cuti sekolah: "Anak sulung saya, Vie Zaara yang kini usia 11 tahun juga meminati dunia lakonan. Malah, Zaara dan Zareef juga sebelum ini sudah menjayakan iklan".










www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Eizlan Yusof


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: