30 July 2019

ISU TAJAAN HONEYMOON, JURUSOLEK, TOKEN RM1K - NADIA BRIAN NAFI DIRINYA


"Saya tak terfikir pun lagi soal honeymoon bagaimana mereka boleh kaitkan saya dalam hal ini? Sekalipun kami merancang untuk honeymoon, tidak sampai nak minta orang taja bulan madu kami. Melainkan ada orang yang nak hadiahkan kepada saya dan bakal suami, Alhamdulillah, saya terima," demikian ujar pelakon Nadia Brian yang terkejut apabila dikaitkan sebagai pelakon wanita yang meminta tajaan berbulan madu daripada sebuah agensi pelancongan seperti yang tular di media sosial semalam.





Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 28, berkata, dia dan bakal suami belum lagi terfikir untuk berbulan madu. Selain itu, Nadia menganggap perkara tersebut sebagai lucu dan tidak terlintas untuk membawa jurusolek serta pembantu peribadi berbulan madu.

Tambahnya lagi, dia juga tidak akan meminta tajaan daripada mana-mana pihak untuk menaja bulan madunya sebaliknya lebih memilih sesuatu yang mengikut kemampuannya sendiri: "Untuk minta tajaan honeymoon itu bukan saya. Saya juga tak terfikir pun nak bawa pembantu peribadi atau jurusolek untuk ikut pergi honeymoon.

Klik untuk gambar besar


"Tak dinafikan bulan madu sekali seumur hidup... tetapi tak perlulah nak ada target yang besar kerana nanti kita balik yang tertekan. Paling penting, ia haruslah mengikut kemampuan diri sendiri. Tak perlu nak ikut-ikut orang," ujarnya yang terpalit dengan isu berkenaan kerana dia salah seorang pelakon wanita yang bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.

Terdahulu, pemilik syarikat ejen pelancongan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap permintaan seorang pelakon wanita yang meminta bayaran tambahan selain bulan madunya ditaja penuh agensi berkenaan. Selain menanggung kos penginapan, tiket penerbangan dan pengangkutan yang dianggarkan berjumlah RM20,000, aktres terbabit dikatakan turut meminta bayaran sebanyak RM1,000 bagi membayar khidmat jurusolek tidak termasuk promosi di laman sosial miliknya.

Untuk makluman, Nadia bakal berkahwin dengan ahli perniagaan Muizz Nasruddin pada 9 September depan selepas menunda tarikh yang pada awalnya dirancang 19 September. Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 4 Mei lalu. Kedua-duanya berkenalan selama dua tahun dan Muizz melamarnya di Kota Paris pada Februari 2019.








www.myartis.com / Sumber & foto: mStar & Instagram Nadia Brian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: