04 July 2019
UMUM TARIK DIRI DARI MAY: "TIADA KRISIS YANG BESAR DENGAN MEREKA" - MUS
"Saya rasa tidak mampu lagi untuk beraksi menyanyikan lebih 10 lagu dalam mana-mana konsert bersama May. Ramai yang tidak tahu perkara ini dan rasanya tidak adil untuk penganjur masih memanggil saya dengan nama Mus May sedangkan anggota kumpulan sendiri tidak tahu saya sudah tidak bersama mereka.
"Selepas ini, penganjur tidak boleh memanggil saya dengan panggilan itu lagi dan saya masih memikirkan nama yang sesuai," kata penyanyi kumpulan May, Mus yang mengumumkan sudah menarik diri daripada kumpulan itu bermula Januari lalu.
Mus atau Mustaffa Din, 51, ketika ditemui pada sidang media KL Rhythm Nitez: Konsert Rockestra Lagenda di Pusat Pelancongan Kuala Lumpur itu berkata, keputusan drastik itu dibuat selepas mengambil kira keadaan kesihatannya yang kurang mengizinkan.
Selain Mus, konsert anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Artis Malaysia (YKAT) yang akan berlangsung pada 13 Julai di Panggung Anniversari itu turut menampilkan Datuk Nash, Datuk Hattan, Bandi Amuk dan kumpulan Candy.
Mus berkata, penggunaan nama Mus May untuk konsert itu tidak dapat dielakkan kerana proses perbincangan sudah berlangsung lebih awal: "Saya akan masih menyanyikan lagu ciptaan sendiri ketika bersama May tetapi mengelak menyanyikan lagu lain untuk tidak mengeruhkan keadaan.
Klik untuk gambar besar
"Saya tiada krisis yang besar dengan mereka. Cuma mungkin silap saya, selepas menjayakan Konsert Metal Return 1.0 Live XPDC May di Ipoh pada Disember 2018, saya terus mendiamkan diri. Namun dalam diam, saya buat keputusan drastik begini. Sepatutnya benda ini saya beritahu kepada mereka tetapi sebaliknya saya umumkan kepada orang ramai," ujarnya.
Mus akhirnya bertindak menjelaskan perkara sebenar kepada dua anggota kumpulan May iaitu Man serta Abu dan mereka menghormati keputusannya: "Saya tidak beritahu Yus dan dia hanya tahu daripada mereka sekali gus buat dia kecewa dengan saya dan meluahkan di Facebook. Saya faham situasi mereka dan tidak salahkan Yus. Mungkin kalau saya di tempat mereka pun akan buat begitu. Seperti saya katakan, mungkin silap saya kerana tidak jelaskan sendiri kepada mereka".
Mus mengakui tidak sampai hati untuk memberitahu perkara sebenar kepada kawannya kerana hubungan persahabatan mereka yang terjalin begitu lama: "Saya harap ahli kumpulan faham keadaan ini tetapi mereka tetap nakkan juga penjelasan daripada mulut saya. Saya cuma enggan perkara ini terlalu dihebohkan kerana tidak mahu ia boleh merenggangkan hubungan kami. Apapun saya mahu mengelak sekiranya penganjur mahu menggunakan nama Mus May kerana mereka tentu rasa tidak selesa".
Katanya, dia berharap anggota May dapat mencari penyanyi lain bagi menggantikan tempatnya: "Saya ada dengar mereka sudah ada pengganti, tetapi tidak boleh komen lanjut kerana biarlah mereka sendiri yang jelaskan. Kalau tanya saya pun, saya memang berharap mereka dapat cari penyanyi yang sesuai untuk meneruskan perjuangan May".
Terdahulu, Mus pernah koma selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat demam panas pada Julai 2017. Dia kemudiannya dipindahkan ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.
www.myartis.com / Sumber: Harian Metro
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment