20 August 2019

AKUI SALAH - FIKRY IBRAHIM KECEWA, SEDIH KELUARGA DIKECAM


"Saya memang agak kecewa dan sedih apabila warganet 'menyerang' keluarga saya. Jika hendak kecam sekalipun, cukuplah setakat saya yang menjadi mangsa. Kenapa mereka perlu mengaitkan ibu saya sekali? Kalau ibu terbaca komen sedemikian, tentunya dia berasa sedih," tutur pelakon Fikry Ibrahim.





Fikry kesal apabila keluarganya turut menjadi mangsa kecaman warganet gara-gara tindakannya melanggar prinsip tidak mahu bersentuhan dengan pelakon wanita bukan mahram. Katanya, dia tidak kisah andai dirinya sahaja yang 'diserang' pihak berkenaan berikutan babak bersentuhan dengan pelakon, Tasha Shilla, dalam drama 'Kau Yang Pertama', yang kini menemui penonton TV3.

Pelakon drama 'Cik Reen & Mr Ngok Ngek' itu pernah mendapat pujian peminat apabila memegang prinsip enggan menjayakan babak bersentuhan dengan pelakon wanita dalam drama lakonannya. Begitupun, menerusi naskhah terbaru arahan Hadith Omar siaran slot Akasia, menerusi beberapa babak, pelakon terbabit dilihat memegang Tasha yang berlakon sebagai tunangnya.

Klik untuk gambar besar


Pemilik nama sebenar Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 25, berkata kenyataannya sebelum ini untuk cuba sebaik mungkin tidak bersentuhan dengan wanita dalam drama. Bagaimanapun, Fikry akui terdapat situasi yang tidak dapat dielakkan daripada melakukan babak berpegangan tangan itu.

"Saya boleh terima jika teguran ditujukan kepada saya sahaja namun situasi berubah apabila ibu bapa saya juga terpalit sama sehingga ada yang kata saya tidak di didik dengan baik. Namun saya tak nafikan ia perkara yang salah apabila bersentuhan dengan wanita bukan mahram dan saya terima segala nasihat peminat.

"Tapi janganlah sehingga salah faham terhadap kenyataan saya sebelum ini, lebih teruk ada yang olah kenyataan tersebut sehingga membawa maksud yang berbeza," ujar Fikry yang berkata, dia akan cuba untuk mengelakkan perkara tersebut daripada berulang lagi pada masa akan datang.



Cuba menjelaskan perkara itu, tegas Fikry, kenyataan diberikan olehnya berhubung perkara terbabit sebelum ini disalah erti: "Saya pernah menyatakan, saya takkan memuatnaik gambar wanita tak bertudung di laman sosial dan cuba untuk tidak bersentuhan dengan pelakon perempuan.

"Saya tahu, soal bersentuhan dengan pelakon wanita agak sensitif. Namun, saya anggap ia sebagai ujian yang akan mematangkan diri. Saya menerima komen warganet dengan berlapang dada. Apabila masing-masing memberikan perhatian, ia bermakna mereka pedulikan saya," katanya sambil memohon maaf andai kenyataannya berhubung perkara itu menyinggung mana-mana pihak.

Dalam pada itu, Fikry memaklumkan sudah lama tidak memuatnaik gambar wanita tidak bertudung di laman sosial: "Sejak awal lagi, memang saya tidak memuatnaik gambar perempuan tidak bertudung. Ibu saya turut memantau akaun Instagram milik saya dan saudara mara lain," jelasnya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, mStar & Instagram Fikry Ibrahim


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: