12 August 2019

"MUJURLAH MEREKA TIDAK TERPEDAYA" - FAUZIAH NAWI BUAT LAPORAN POLIS


"Semalam, saya dimaklumkan oleh beberapa rakan yang menerima kiriman WhatsApp daripada nombor tidak dikenali yang menggunakan identiti saya. Individu tidak bertanggungjawab itu meminta untuk meminjam sejumlah wang daripada rakan-rakan saya. Mujurlah mereka tidak terpedaya dan terus menghubungi saya untuk mengesahkan sama ada itu benar-benar saya atau tidak.





"Semalam, saya tak sempat ke balai polis kerana beraya, jadi hari ini saya akan ke balai untuk membuat laporan polis," ujar pelakon Fauziah Nawi yang akan membuat laporan polis hari ini selepas identiti dan gambarnya digunakan oleh individu tidak bertanggungjawab untuk tujuan penipuan.

Fauziah, 66, berkata, dia dimaklumkan mengenai penipuan itu oleh rakan-rakannya yang menerima kiriman WhatsApp daripada nombor tidak dikenali dan memperkenalkan diri sebagai dirinya. Menurut Fauziah, individu itu menggunakan gambar terbaru yang dimuat naik olehnya pagi semalam.

Klik untuk gambar besar


"Saya ada muatnaik gambar terbaru di Facebook dan individu itu menggunakan gambar ini untuk 'memancing' rakan-rakan saya. Dia siap bertanya sama ada gambar itu cantik atau tidak sedangkan saya sendiri tidak pernah berbuat demikian. Dia meminta kenalan saya untuk memindahkan sejumlah wang ke akaun menggunakan nama Ustaz Haji Salemardan Biska dan berbual di WhatsApp seolah-olah dirinya saya,” katanya.

Tahun lalu, Fauziah pernah dihubungi nombor tidak dikenali, menggunakan identiti rakannya dan modus operandi yang sama: "Tahun lalu, identiti rakan saya digunakan individu tidak bertanggungjawab untuk menjalankan taktik yang sama. Saya tak pasti kali ini ia individu sama atau orang lain.

"Dalam pada gembira menyambut Aidiladha bersama keluarga, berlaku situasi sebegini yang benar-benar mengganggu. Harapan saya, semoga kita semua lebih berhati-hati kerana dalam dunia sekarang, terlalu ramai orang yang menggunakan taktik kotor untuk mendapatkan wang," katanya yang akan menjalani penggambaran beberapa telefilem dan sibuk dengan program teater 'Gempita Sastera Sasterawan Negara' yang akan dilancarkan secara rasmi menjelang Oktober ini.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: