13 August 2019

NAFI AIR MATA RAIH SIMPATI: "KAMI USAHA & IKHTIAR DAPAT DISIARKAN" - YANA


"Perasaan sebak, hiba dan syukur bersilih ganti dirasai sepanjang tayangan tertutup di pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Sejak naskhah drama itu dijadikan polemik, pelbagai kecaman dilemparkan kepada seluruh produksi, terutama suami, Fadzil Zahari selaku penerbit.





"Ada yang masih tidak berhenti mencemuh, malah menuduh kononnya kami tidak berbuat apa-apa, sedangkan pelbagai usaha kami lakukan untuk mencari jalan penyelesaian. Saya difahamkan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) sudah berulang kali mengadakan tayangan untuk panel dalaman dan pengkritik menilai setiap sudut penerbitan drama itu.

"Apabila berpeluang bertemu dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan wakil agensi lain, hati saya terusik mengenangkan keikhlasan mereka membantu kami," kata penerbit Eksekutif telefilem 'Demi Tuhan Aku Bersaksi', Yana Samsudin yang mengakui masih terkesan dengan cemuhan yang berterusan dilemparkan warganet sejak kontroversi drama itu tercetus.

Justeru, kata Yana, tangisannya ketika bertemu agamawan pada tayangan tertutup drama itu, Jumaat lalu bukan kerana mahu menagih simpati, sebaliknya ia lebih kepada cetusan emosi yang bercampur-baur. Yana berkata, dia paling terkesan apabila dilabel sebagai ahli neraka, selain dikatakan mempermainkan agama dan mencemarkan Islam gara-gara menghasilkan drama itu.

Klik untuk gambar besar


"Selepas kami menegaskan, tiada babak songsang atau wujud watak mak nyah dalam pusat tahfiz seperti disebarkan pihak tidak bertanggungjawab, tuduhan dilencongkan pula kepada dakwaan menghina agama," tuturnya.

Sejak minggu lalu, drama arahan Eyra Rahman itu mencetus kontroversi apabila didakwa sesetengah pihak mempromosikan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGTB) di pusat tahfiz, susulan tersebarnya sekeping gambar dan sinopsis yang meragukan.

Telefilem yang sepatutnya disiarkan TV1 pada awal September ini membariskan Syafie Naswip, Fezrul Khan, Ismail Yaakob, Taiyuddin Bakar, Sheila Mambo, Aman Graseka dan Melanie Tan. Ia berkisar keinsafan seorang individu yang berusaha meninggalkan dunia lama yang disifatkan 'hanyir' dengan memasuki pusat tahfiz untuk mempelajari agama.



Namun, penerimaan segelintir penuntut sangat menyakitkan sehingga dia berdepan cacian dan penghinaan, selain nyaris dihalau kerana sifat skeptikal mereka. Gara-gara penyebaran maklumat palsu, isu itu semakin serius apabila muncul pula petisyen di Facebook yang meminta telefilem itu tidak disiarkan.

Sementara itu, berhubung keputusan sama ada 'Demi Tuhan Aku Bersaksi' diluluskan untuk tayangan atau sebaliknya, Yana hanya berserah kepada Allah kerana yakin kebenaran akan terbukti: "Pada peringkat ini, kami sudah reda. Kami sudah berusaha dan berikhtiar supaya ia dapat disiarkan, sekali gus memadam pandangan skeptikal segelintir pihak.

"Keseluruhan pasukan, termasuk barisan pelakon memberikan komitmen cemerlang dan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin. Saya tidak menyangka tema telefilem ini dimanipulasi sesetengah individu sampai begini, tetapi saya dengan rendah diri tetap ingin memohon maaf.

"Disebabkan kekhilafan kami, ada individu sempat membuat andaian hingga membuatkan orang ramai salah faham. Kita tunggu sahaja keputusan bertulis daripada pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang turut mengambil kira pandangan agamawan lain," ujarnya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Yana Samsudin


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: