06 August 2019

VOKALIS KUMPULAN MAY - AG GANTI MUS


Selepas sebulan Mus mengundur diri sebagai vokalis kumpulan May, kini kumpulan itu tampil memperkenalkan vokalis barunya, AG sebagai pengganti. Pemain dram kumpulan berkonsep hard rock itu, Mohamad Saarip Yaakob, 54, atau Man berkata, mereka sudah mengenali AG atau nama sebenarnya Ahmad Fauzi Kamaruddin, 41, sejak sembilan tahun lalu ketika dia beraksi dengan kumpulan lamanya dalam sebuah pertandingan nyanyian.





"Waktu itu, May diundang sebagai band jemputan untuk Battle of The Band di Lanchang, Pahang. Kumpulan yang dianggotai oleh AG berjaya muncul juara. Saya mendapati cara nyanyian AG iaitu nada suara, teknik nyanyian dan ketinggian suaranya sama macam Mus. Saya ambil nombor telefonnya tapi terhilang pula.

"Sehinggalah baru-baru ini, saya cari dia semula di Facebook dan jumpa akaunnya. Saya hantar mesej peribadi kepadanya supaya WhatsApp dan dia berbuat demikian," kata Man dan selain dia May yang ditubuhkan di Ipoh pada 1986 turut dianggotai Abu (gitar) dan Yus (bass).

Menerusi perbincangan di telefon, AG menyatakan minat untuk bersama May kerana kumpulannya sendiri sudah lama dibubarkan dan anggotanya membawa haluan sendiri: "Saya menetapkan satu hari buat AG datang ke Ipoh baru-baru ini untuk latihan akhir (run through) dengan May kerana keseluruhan lagu May dia tahu.

"May beruntung kerana dapat tajaan daripada pemilik Ladyboss Studio, Ipoh untuk buat rakaman sesi ini dan siarkan di mana-mana saluran termasuk media sosial. Kami amat berterima kasih dengan Ladyboss Studio dan manfaatkan tajaan ini sebaiknya. Dari situlah bermulanya gabungan kami dengan AG," ujarnya.

Man berkata, AG dianggap matang dan bersemangat untuk meneruskan perjuangan seni dengan May: "Kiranya sudah sah dia pengganti Mus. Kalau nak cari orang lain memang bukan senang jumpa yang boleh menyanyi nada tinggi macam Mus. Malah Mus sendiri pun dah tak boleh nyanyi macam itu. AG menyanyikan 12 lagu May dengan baik. Nada tinggi bahagian menjerit pun cantik. Semua puas hati dengan kemampuannya".

Menurut Man, AG melengkapkan kombinasi May di mana kedudukan namanya di tengah: "Nama AG dikira berada di tempat Abu (A). Dulu Mus di tempat saya, Man (M). Yantzen pernah duduk di tempat Yus (Y). Nama May memang kena dengan nama kami. Alhamdulillah, kami sudah ada tawaran persembahan, tarikhnya belum pasti tapi sudah ada. Kami juga akan masuk Pesta Pulau Pinang seperti kebiasaannya pada Disember nanti".

Katanya, mereka akan menghasilkan sekitar dua atau tiga lagu sebagai single bagi memperkenalkan AG kepada peminat: "Nak dibandingkan dengan Mus, AG dikira baru tapi ada dia suara, nada suara yang baik serta nada tinggi pun bagus.

"Tinggal lagi, dia hanya kekurangan pengalaman. Kiranya dia kena bermula dari bawah. Saya lihat tak susah nak bentuk dia. Persembahan, rakaman dan pengurusan untuk May merangkumi urusan media kini dikendalikan oleh saya. Ia bukan asing kerana sejak 1986 hingga 1991, saya yang kendalikan semua," jelasnya.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: