22 September 2019

DEMI BESARKAN AYDEN - BELLA ASTILLAH KEMBALI AKTIF BERLAKON


Pelakon Bella Astillah yang berdepan dengan episod duka dalam rumah tangganya ini tidak pernah menjadikan hal itu sebagai pematah semangatnya untuk meneruskan hari-hari yang mendatang. Bagi pemilik nama sebenar Dayang Nabellah Awang Astillah itu, dia selalu optimis dengan segala hal yang datang dalam hidupnya.





Justeru, dia mengambil keputusan untuk kembali aktif. Bagi Bella, 25, sendiri, dia melihat usahanya itu perlu demi membesarkan amanat Tuhan buatnya, putera sulungnya Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia dua tahun.

Bergelar seorang ibu bukan satu tugas yang mudah. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang memegang status sebagai ibu tunggal. Ini kerana, ada banyak komitmen dan tanggungjawab yang perlu digalas, sementelah bagi mereka yang masih mempunyai anak kecil.

Bella yang kini hangat dengan drama 'Cinta Belum Tamat Tempoh' di Astro Ria ini memberitahu, dia melihat penerimaan baik dalam kalangan orang industri kepada dirinya sebagai satu rezeki buat anaknya: "Sebenarnya, dari kecil lagi saya sudah bergiat dalam dunia seni.

"Adik saya, Didi Astillah lebih kepada nyanyian, saya pula lakonan. Cuma, selepas itu saya tinggalkan sebab mahu fokus kepada pelajaran. Di kala ini kalau tidak teruskan bidang tersebut, orang kata sayang pula. Lebih-lebih lagi, keluarga juga menyokong hasrat saya untuk kembali berlakon," katanya.

Klik untuk gambar besar


Jelasnya lagi, sebelum ini juga, dia berehat daripada dunia seni bagi memberi fokus pada rumah tangga dan menjalankan tanggungjawab sebagai isteri: "Kalau dulu, suami saya adalah keutamaan dan saya korbankan minat saya dalam bidang seni buat seketika. Jadi, apabila sudah begini (solo), saya mahu kembali teruskan apa yang saya tinggalkan dulu. Saya kena lakukan sesuatu iaitu bekerja kerana saya perlu jaga anak dan ibu bapa".

Biarpun ada pihak yang mendakwa rezeki mencurah yang diterimanya mungkin disebabkan 'tiket' simpati daripada orang sekeliling, Bella tidak melatah: "Saya tidak tahu niat orang sama ada mereka (tawarkan kerja) kerana simpati atau nak tonjolkan bakat saya. Saya tidak kisah apa orang nak cakap.

"Lagipun, mereka tidak tahu apa yang saya lalui. Jadi, saya buat apa yang terbaik untuk diri dan keluarga sahajalah. Apa yang penting saya anggap ini semua rezeki anak. Alhamdulillah, rezeki tak putus-putus. Barangkali ini juga berkat doa ibu bapa saya," ceritanya.

Begitupun kata Bella, setiap keputusan yang ingin dibuat, anak akan sentiasa menjadi keutamaannya. Justeru, ada banyak faktor yang perlu dilihat lebih-lebih lagi apabila dia perlu berjauhan dengan anak: "Buat masa ini, saya belum pernah tinggalkan anak saya lagi. Adakalanya, saya bawa Ayden teman pergi bekerja sekali".



Dedah Bella, sejak bergelar janda, dia mengakui ada pihak-pihak di luar sana yang cuba mendekati dirinya. Walau bagaimanapun, kata Bella, dia belum terfikir mengenai pengganti: "Memang ada pihak yang cuba nak mengenali. Ada yang e-mel dan menghantar Direct Message di Instagram, tetapi saya abaikan sahaja.

"Bukan apa, saya ini seorang yang susah nak bercinta. Barangkali sebab saya ini jenis yang lebih kepada insan yang utamakan keluarga. Sampaikan saya pernah kata, kalau selepas ini saya tidak ada jodoh sekalipun, tidak mengapa," jelasnya.

Kata pelakon 'Jamil Balik Kampung' itu, dia juga tidak pernah kesal apabila perlu berdepan dengan aturan hidup yang mungkin ada yang melihatnya sebagai satu kegagalan dalam berumah tangga: "Mana ada wanita yang kahwin untuk bercerai. Apapun, apabila sudah tidak ada jodoh, saya tidak boleh mengeluh," kata heroin yang digandingkan dengan Nafiz Muaz dalam 'Cinta Belum Tamat Tempoh' itu.

Bercakap mengenai drama tersebut, kata Bella, ia lebih menekankan perihal kekeluargaan: "Saya rasa lebih dekat kerana saya sendiri seorang yang utamakan keluarga. Mula-mula itu gementar juga tetapi saya beruntung kerana mendapat banyak tunjuk ajar daripada pengarah, Jamal Khan sendiri," katanya menutup bicara.


www.myartis.com / Sumber & foto: Kosmo & Instagram Bella Astillah


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: