09 October 2019

TAK TAHU ADIRA FAIL CERAI - DATO RED ENGGAN 'LEPASKAN'


Tiada angin tiada ribut, penyanyi Adira Suhaimi telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali Dato Red di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang, hari ini. Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 28, memfailkan permohonan itu pada 1 April lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.





Ketika disoal Hakim Syarie Mohd Faizal Habib mengenai pendirian Adira mengenai permohonan cerai itu, bintang Akademi Fantasia berkenaan menjawab: "Saya tetap mahu teruskan perceraian ini". Bagaimanapun, Adnan atau dikenali dengan panggilan Datuk Red itu ketika disoal Mohd Faizal membantah permohonan isterinya itu.

Sepatutnya, pada prosiding hari ini ditetapkan untuk pelantikan hakam pegawai mahkamah, namun ditangguhkan. Ini berikutan selepas peguam syarie Mohd Hafiz Abd Rashid yang mewakili Datuk Red memohon prosiding ditangguhkan kerana anak guamnya membuat semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung hakam keluarga.

Mohd Faizal Habib kemudian menetapkan 17 Disember depan sebagai tarikh sebutan hakam kes perceraian itu. Dalam prosiding itu, Adira diwakili peguam syarie Siti Nur Zafirah Mohd Padzil. Datuk Red tiba jam 2.50 petang di mahkamah bersama dua rakannya dan kemudiannya Adira yang dilihat berseorangan jam 3.05 petang.

Klik untuk gambar besar


Sebelum ini, Datuk Red tidak tahu isterinya akan memfailkan perceraian. Sewaktu dihubungi semalam, beliau menafikan mengenai isu perceraian itu dengan berkata, ia hanya khabar angin seperti mana ia heboh diperkatakan sebelum ini.

Terdahulu, seawal jam 8.30 pagi, media hadir ke mahkamah untuk mengikuti prosiding perceraian, namun kemudian dimaklumkan Adira bahawa permohonan cerai terhadap Adnan akan berjalan jam 3 petang. Sepatutnya, prosiding permohonan cerai dilakukan Adira pada jam 9 pagi tadi tetapi penyanyi itu meminta untuk mengubah waktu kerana tidak menyangka perkara itu (permohonan cerai) diketahui umum.

Spekulasi mengenai perceraian pasangan ini timbul apabila ruangan gosip sebuah portal hiburan menyiarkan cerita artis wanita diceraikan ketika sedang hamil anak ketiga. Adnan, seorang ahli perniagaan menikahi Adira di Songkhla, Thailand sebagai isteri kedua pada 3 Disember 2015.

Hasil perkahwinan, Adira dan Adnan dikurniakan tiga cahaya mata, termasuk puteri yang baharu sahaja dilahirkan dua bulan lalu. Perkahwinan pertama Adnan dikurniakan lima cahaya mata. Adnan juga pernah bernikah pada usia 20 tahun, tetapi bercerai selepas lima tahun bersama dan hasil perkahwinan itu dia dikurniakan dua cahaya mata.




www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: