04 November 2019

GELARAN 'MAKAN' ATAU 'BUAYA' - AZHARINA TAK KISAH, ANGGAP SATU PUJIAN


Gelaran 'makan' atau 'buaya' diberikan kepadanya, membawa maksud dia suka membayangi atau menguasai rakan duet dalam nyanyian, penyanyi Azharina Azhar atau Nina menganggap ia adalah satu pujian. Dia juga tidak berkecil hati malah berterima kasih kepada mereka yang memberikan gelaran itu kepadanya kerana ia membuatkannya mahu memberikan yang terbaik kepada rakan duetnya apabila dijemput untuk menyanyi bersama.





Isu Nina dikatakan suka menguasai persembahan sehingga digelar penyanyi yang suka 'makan' rakan duet seperti 'buaya' timbul apabila dia dijemput untuk menyanyi bersama kumpulan One Nation Emcees bagi minggu duet di konsert Gegar Vaganza musim keenam (GV6) malam tadi.

Kata Nina, Mimie daripada One Nation Emcees menghubunginya dan memberitahu sebaik saja pengumuman mereka akan berduet diumumkan di minggu ketiga konsert GV6, ada seorang pengurus artis datang kepadanya dan meminta anggota kumpulan itu berhati-hati kerana pemenang Gegar Vaganza musim ketiga itu suka 'makan' rakan duet.

"Jihan (pengacara GV6) juga turut menggelar saya buaya di atas pentas. Saya tidak kisah dan anggap ia satu pujian, tetapi kasihanilah rakan duet saya. Apabila perkara ini diperkatakan apa pula perasaan mereka. Takut ia mempengaruhi umum terhadap bakat mereka," katanya.

Klik untuk gambar besar


Katanya, dia tahu isu itu dibangkitkan berdasarkan nyanyian duetnya bersama bekas penyanyi kumpulan Rio, Shafie di konsert Gegar Vaganza musim kelima: "Ia pada saya tidak adil. Kenapa mereka tidak melihat penampilan saya berduet bersama Hazami dan juga Idayu yang membawa kemenangan kepada mereka sebelum ini.

"Saya memang mempunyai nada suara yang besar tetapi sebagai penyanyi apabila diminta berduet dengan penyanyi lain sudah tentu saya akan membuat kajian terlebih dahulu dan menilai kemampuan vokal rakan duet. Menerusi latihan pula kita akan cari keserasian supaya peserta yang bertanding lebih menonjol," ujarnya.

Menurutnya, apabila dalam pertandingan seperti GV6, nyanyian penyanyi jemputan sepertinya tidak akan diberikan markah, jadi tiada sebab untuk dia ‘makan’ atau ‘telan seperti buaya’ persembahan atau nyanyian penyanyi yang menjadi rakan duetnya.

Kata Nina, pada peringkat awal apabila diberitahu mengenai pandangan penggiat terhadap dirinya itu, dia agak kesal sehingga membuatkan dia meluahkannya di laman sosial. Namun apabila difikirkan kembali dan melihatnya dari sudut positif, penyanyi yang mula popular menerusi lagu Elegi Sepi itu menganggap gelaran terbabit ibarat pembakar semangat untuk dia memberikan persembahan terbaik bersama rakan duetnya.






www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Azharina Azhar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: