02 December 2019

IZREEN SELESA TUTUP KOMEN: "TIDAK PERLUKAN PENDAPAT ORANG UNTUK KEHIDUPAN"


"Sejak dulu saya tidak pernah takut berdepan kecaman peminat. Saya hanya mahu membiarkan keadaan reda. Bagaimanapun, setakat ini, tidak ada peminat mengkritik secara berdepan. Mereka sekadar meninggalkan mesej pada akaun Instagram (IG). Malah, jika berjumpa, ada yang masih sudi bergambar dengan saya.





"Saya tidak menafikan kontroversi melanda memberi impak kepada kerjaya seni. Namun, saya percaya rezeki ada di mana-mana sahaja," demikian kata pelakon Izreen Azminda Aznam, 34, yang mengaku bahagia membesarkan anak-anak terutama si kecil yang yang baru berusia lima bulan.

Izreen juga tenang memberi tumpuan kepada rumah tangga bersama pemuzik Ude Wahid yang dinikahinya, kira-kira dua tahun lalu. Sehubungan itu, Izreen belum bersedia untuk kembali berlakon. Jika adapun, Izreen mengelak membawa watak stereotaip.

Namun, Izreen menafikan keputusan memperlahankan kerjaya seni dibuat kerana takut berdepan kecaman peminat. Selain memberi tumpuan kepada anak-anak dan suami, Izreen membantu menguruskan rangkaian perniagaan keluarga seperti khidmat hiasan dalaman.

Klik untuk gambar besar


Ditanya sama ada mahu terus menutup ruang komen di akaun media sosial, Izreen mengaku belum bersedia mengizinkan pengikut melayangkan komen. Tambah Izreen, dia tidak memerlukan pendapat pengikut atau netizen dalam menentukan hala tuju hidupnya.

"Saya tidak perlukan pendapat orang lain untuk kehidupan. Saya lebih selesa menutup ruang komen agar tiada perbalahan dalam kalangan peminat di IG. Apatah lagi, saya tidak suka baca komen negatif. Jadi, biarlah, buat masa ini, ruang komen ditutup. Alhamdulillah, setakat ini, saya sangat tenang," ujarnya.

Izreen sebelum ini pernah berkahwin dengan jurukamera, Muhammad Riza, pada 2012. Namun, mereka berpisah dua tahun kemudian. Melalui perkahwinan pertama, Izreen dikurniakan anak lelaki iaitu Muhammad Adrian Umar yang sudah berusia lima tahun.

Izreen kemudian berkahwin dengan Ude Wahid atau nama sebenarnya, Muhamad Radzi Abdul Wahid, 31, pada 8 Ogos 2017. Namun, pernikahan mereka menimbulkan kontroversi kerana Ude ketika itu berstatus suami orang.






www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: