27 January 2020

ARTIS VETERAN SHARIFAH AMINAH TERLANTAR SEJAK SETAHUN


Sejak setahun lalu, pelakon dan penerbit, Sharifah Aminah Syed Abdullah, 75, telah terlantar dalam keadaan separuh sedar di sebuah pusat jagaan warga emas di ibu negara. Sharifah Aminah yang aktif sejak 1960-an, ditempatkan di pusat jagaan itu oleh anak-anak bagi membolehkan beliau mendapat penjagaan khusus.





Anak sulungnya, Wan Monaliza Jamali, 52, memberitahu, dia dan adiknya sepakat menempatkan ibu mereka di premis berkenaan, namun keadaan kewangan ketika ini, tidak mengizinkan dirinya melunaskan bayaran bulanan.

"Saya dibuang kerja dan masih mencari jawatan dengan pendapatan tetap. Saya hanya menjual kuih yang dihantar kepada beberapa gerai di sekitar rumah. Ketika ini, tunggakan bayaran penjagaan bernilai hampir RM10,000.

"Namun, pengurusan premis berkenaan berbesar hati mengurangkannya kepada RM8,000 serta menghadiahkan mama katil hospital. Selain itu, ada saudara-mara dan teman rapat membantu menjelaskan bayaran, tetapi tidak mencukupi," tuturnya.

Sebelum ini, Sharifah Aminah yang membintangi filem 'Mama Oh Mama' dan 'Esok Untuk Siapa' itu mengalami pendarahan otak dan serangan angin ahmar. Beliau rebah di sebuah restoran ketika menikmati makan malam bersama beberapa teman rapat pada September 2018.

Berikutan itu, Sharifah Aminah atau mesra disapa Kak Pah, dikejarkan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan terlantar selama empat bulan. Atas persetujuan bersama, anak-anak terpaksa menghantar Sharifah Aminah ke pusat jagaan warga emas itu.

Wan Monaliza berkata, dia tidak mempunyai pilihan melainkan menghantar ibu ke pusat penjagaan itu yang menawarkan bayaran berpatutan. Bagaimanapun, Wan Monaliza kini tidak lagi mampu membayar kos penjagaan ibunya sejak diberhentikan kerja, beberapa bulan lalu: "Pada mulanya, saya dikenakan bayaran RM2,700 sebulan. Namun, dapat dikurangkan kepada RM1,500 sejak empat bulan lalu," katanya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: