12 January 2020

DITUDUH GUNA ADIK SAKIT RAIH UNDI SIMPATI - AJAK TERKILAN


Semua sedia maklum, adik kepada pelawak dan penyampai radio Ajak Shiro, Mohd Fitri Razak ditimpa kemalangan di tempat kerja pada Khamis dan mengalami melecur tahap dua dan kini sedang menerima rawatan. Bagaimanapun, ada pihak yang tidak sensisitif menuduh Ajak menggunakan foto adiknya untuk meraih undi simpati di pentas akhir Maharaja Lawak Mega MLM) 2019.





Ajak atau nama sebenarnya Mohamad Hanaffi Razak yang juga anggota kumpulan Rare di MLM 2019 itu meluahkan rasa terkilan dan turut menganggap individu yang melemparkan tuduhan tersebut sebagai tidak sensitif dengan kesulitan dihadapi orang lain.

"Orang yang macam ni saya anggap tidak sensitif dengan orang lain. Apa relevannya saya menggunakan adik yang sedang dalam keadaan tidak berdaya untuk kepentingan sendiri? Saya masih waras! Soal nyawa ini bukan benda main-main. Komen melampau macam ni buat saya geram," luahnya terkilan.

Ditanya mengenai perkembangan Fitri, Ajak berkata adiknya itu berada dalam keadaan baik dan berharap agar diberi kesembuhan. Difahamkan, Fitri mengalami melecur tahap dua selepas silinder gas meletup ketika sedang membaiki penghawa dingin bangunan di Pelabuhan Klang, jam 3.40 petang Khamis.

"Syukur Alhamdulillah, walaupun mengalami kesan lecuran di tahap dua adik saya nampak semakin baik dan positif. Adik saya juga akan dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur kerana isteri dan anak-anaknya tinggal di Cheras. Terima kasih kepada yang telah mendoakan," tuturnya.

Klik untuk gambar besar


"Adik saya tinggal di Cheras bersama keluarga dia. Kebetulan dia di Klang dan buat kerja di sana dengan kawan dia. Masa tengah buat kerja itulah gas meletup, dia suruh kawan dia keluar sementara dia masuk semula ke dalam bangunan untuk menutup suis utama. Jadi, masa itulah api menyambar. Tapi kalau dia tak tutup suis mungkin letupan besar akan berlaku," katanya.

Dalam pada itu, Ajak akur dengan keputusan juri apabila Rare diumumkan sebagai pemenang tempat kelima MLM 2019: Barada di tahap ini sudah cukup baik. Nak lepas berbelas peserta bukannya mudah. Saya berterima kasih kepada Pak Ya dan Ropie kerana kerja keras mereka sehingga ke tahap ini".

Kumpulan Rare membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM15,000 beserta trofi sumbangan Astro. MLM 2019 menyaksikan kumpulan Puteh dinobatkan sebagai juara dan menerima wang tunai RM500,000 beserta trofi.

Sementara itu, wang kemenangan berjumlah RM250,000 menjadi milik kumpulan trio adik beradik Zero diikuti Bocey di tempat ketiga dengan hadiah RM150,000 dan tempat keempat diisi oleh kumpulan Jborn yang membawa pulang RM50,000.


www.myartis.com / Sumber & foto: Astro Gempak & Instagram Ajak Shiro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: