30 January 2020

KONTRAKTOR TIDAK SEMPURNAKAN UBAHSUAI RUMAH - CHE TA BERANG


"Siapa yang mampu bersabar selepas dua tahun, kerja pengubahsuaian dan penambahbaikan rumah saya tak siap-siap. Apabila mengupah kontraktor Melayu atas niat membantu bangsa sendiri, inilah hasilnya. Bukan hendak memalukan orang Melayu, tapi inilah hakikat yang saya hadapi.





"Kita bagi rezeki, mereka kerja main-main," kata Rozita Che Wan atau Che Ta yang akhirnya 'mengamuk' dengan kontraktor yang didakwa gagal menyiapkan projek pengubahsuaian kediamannya sejak dua tahun lalu, setelah lama berdiam dan menahan sabar.

Berang selepas banyak wang dibelanjakan, Rozita memuatnaik video melalui Instagram (IG) Story yang antara lain menunjukkan projek pengubahsuaian banglo miliknya di Damansara, Petaling Jaya, tidak siap. Rozita mendakwa sudah membelanjakan jutaan ringgit untuk projek pengubahsuaian kediamannya itu.

Rozita menambah, sikap kontraktor terbabit amat mengecewakan: "Saya lantik kontraktor ini atas saranan teman. Nampaknya, kadang-kadang, cadangan kawan pun tak boleh pakai. Bayangkanlah, kalau tak bayar duit, kerja tak jalan.

Klik untuk gambar besar


"Apabila kita bayar, sikit-sikit minta wang lagi. Mungkin mereka guna duit tidak betul sehingga kerja jadi tergendala. Peruntukan membayar pekerja dan membeli bahan binaan juga mungkin kehabisan," ujarnya.

Rozita berkata, dia memberi tarikh akhir iaitu 10 Januari lalu kepada kontraktor terbabit untuk menyiapkan semua kerja: "Balkoni, lantai, itu dan ini semuanya tak siap. Akhirnya mereka lari. Sekarang saya terpaksa buat pelan B dengan melantik kontraktor baharu menyudahkan semua kerja,” katanya.

Rozita mendakwa sudah puas menghubungi nombor telefon dan melayangkan mesej kepada kontraktor terbabit, namun, tidak mendapat balasan: "Saya diberi bermacam-macam alasan seperti seperti sudah berpindah pejabat, kakitangan berhenti kerja dan bermacam-macam perkara lain.

"Lucunya, foto dan video proses pengubahsuaian rumah saya dipromosikan pada akaun Facebook kontraktor terbabit. Kerja tak siap, ada hati pula hendak perkenalkan perkhidmatan mereka kepada orang lain," tuturnya.




www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Rozita Che Wan


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: