28 February 2020

KRISIS KELUARGA ARWAH ABAM - ACHEY & FAD TERKILAN, HARAP DAPAT DISELESAIKAN


Semua mengetahui mengenai krisis yang melanda keluarga Allahyarham Abam. Anggota Bocey, Achey dan Fad terkilan dengan apa yang berlaku kepada keluarga sahabat baik mereka yang hingga kini menjadi bualan hangat. Achey berkata, isu sedemikian tidak sepatutnya berlaku apatah lagi berkaitan harta ditinggalkan yang boleh diurus secara faraid.





"Apa yang berlaku adalah masalah dalaman keluarga. Jadi, sewajarnya ia dibincangkan dan diselesaikan secara tertutup. Aib keluarga itu harus disimpan. Sebenarnya saya sedih dan terkilan dengan apa yang berlaku kerana kematian Abam dalam keadaan sangat baik," katanya.

Achey yang tidak menyebelahi mana-mana pihak berkata, dia menyarankan pihak keluarga arwah dan balunya, Nor Hidayah Mohd Ali bersama-sama ke pejabat agama untuk menyelesaikan secara baik.

"Isu harta membabitkan pembahagian faraid ini sewajarnya diselesaikan mengikut perundangan agama dan kedua-dua pihak rujuklah dengan pejabat agama. Apapun, saya mengharapkan perkara ini dapat diselesaikan segera di antara sesama keluarga. Usah dibiar terus berpanjangan," katanya.

Ditanya tidakkah dia dan Fad mahu membantu menyelesaikan perkara itu, Achey berkata, sebagai sahabat rapat arwah dan walaupun tahu sedikit sebanyak cerita sebenar tetapi mereka adalah orang luar: "Ini masalah keluarga arwah. Sebagai sahabat akrab, saya dan Fad masih tahu tahap batas kami.

"Serapat mana hubungan kami bertiga dalam Bocey sejak dulu, kami tak boleh campur tangan masalah keluarga mereka. Kami orang luar. Apa yang boleh dilakukan hanya memberi nasihat, pandangan dan pendapat. Selebihnya, terpulang pada mereka sama ada Ali sekeluarga dan Hidayah mahu menerima atau tidak," ujarnya.

Mengulas mengenai tindakan Hidayah yang didakwa membuka mulut bercerita sendiri dalam temuramah secara langsung bersama usahawan, Datuk Aliff Shukri, Achey berkata, wanita itu membuat perkongsian pada pihak yang salah.

"Pihak berkenaan pun orang luar dan tidak sepatutnya perkara sensitif membabitkan hal dalam keluarga dikongsikan sebegitu. Perkara yang bagi saya masih boleh dibawa berbincang dan untuk itu tidak perlu dikongsikan kepada umum iaitu pihak luar yang merakamnya pula dan dimuatnaik ke media sosial," ujarnya.

Sementara itu, Fad berkata, dia mendoakan yang terbaik buat dua keluarga itu. Katanya, dia dan Achey lebih memberi perhatian kepada anak Abam iaitu Syed Uthman Hamzah Al Juffrey.

"Hamzah masih kecil dan baru berusia lapan bulan. Dia pun rasanya belum betul- betul dapat kenal dengan arwah bapanya. Tanggungjawab saya dan Achey memastikan Hamzah mendapat kasih sayang seorang bapa yang diperlukan. Kami selalu saja melawat Hamzah dan ibunya untuk mengetahui perjalanan kehidupan mereka," katanya.

Achey dan Fad ditemui media selepas majlis tahlil Allahyarham Abam yang dianjurkan Astro di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, malam tadi. Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Ridzuan meninggal dunia pada 10 Februari lalu di kediamannya di Gombak.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: