21 February 2020

TIADA ARAHAN TARIK KEMENANGAN - WPE TEGAS 'SUMPAH' HAK MUTLAK NAIM & OMAR K


Berhubung kontroversi lagu 'Sumpah' nyanyian Naim Daniel yang diangkat pemenang utama Anugerah Juara Lagu yang ke-34 (AJL34), ketua juri, Ajai mengesahkan belum menerima arahan daripada pihak TV3. Ajai berkata, biarpun ada pihak memohon kemenangan penyanyi berkenaan ditarik balik, namun dia berpendapat tindakan itu tidak wajar kerana lagu 'Sumpah' bukan lagu ciplak, sebaliknya ia membabitkan isu peribadi.





"Saya mengetahui kekecohan lagu 'Sumpah' sejak semalam lagi, tetapi belum ada wakil TV3 menghubungi saya. Secara peribadi, tiada sebab menarik kemenangan lagu berkenaan kerana bukan karya ciplak. Cuma, saya ingin mengingatkan generasi baharu, jika mereka ingin menceburi dunia muzik belajarlah bersikap jujur. Industri ini bukan untuk glamor tetapi berkongsi karya.

"Sekiranya lagu 'Sumpah' ada tujuh pencipta, letak nama ketujuh-tujuh pencipta lagu. Ini bukan zaman 80-an atau 90-an yang mana lagu hanya dicipta seorang individu sahaja. Jika tidak mampu menghasilkan lagu dan perlu bergabung, maka bersikap jujurlah," ujarnya.

Penyanyi dan komposer itu berkata, sukar mencari penyanyi yang berkebolehan menghasilkan lagu dan lirik sendiri tanpa sokongan individu lain pada zaman ini. Baginya, bukan satu masalah sekiranya penyanyi berkolaborasi kerana ia menjadi kebiasaan kepada penggiat seni muzik: "Mereka perlu bersikap jujur kerana ia membabitkan soal pembahagian royalti.

Klik untuk gambar besar


"Saya tahu isu ini berkaitan peribadi, tetapi cuba bersikap jujur kerana ini bukan soal wang kemenangan AJL semata-mata, tetapi ia membabitkan royalti. Jika betul seperti yang didakwa pihak sana yang dia juga mempunyai hak terhadap lagu 'Sumpah', jadi Naim perlu mengagihkan pembayaran royalti sama rata," kata Ajai.

Sementara itu, lagu 'Sumpah' kekal milik Naim dan Omar K sebagai penggubah lagu tersebut, tegas syarikat rakaman, World Peace Entertaiment (WPE): "WPE dengan ini berhasrat untuk menegaskan bahawa 'Sumpah' sebuah lagu yang menjuarai AJL34 baru-baru ini adalah mutlaknya, hasil karya kerjasama kreatif antara pihak-pihak berikut; Penulis Lirik (Naim Daniel) dan Penggubah (Omar K & Naim Daniel).

" 'Sumpah' sepertimana yang telah diterbitkan dan diketahui umum semenjak April 2019, telah dan akan sentiasa menjadi hak cipta dikreditkan kepada pihak-pihak seperti yang tertera," maklum kenyataan media itu.



Pihak syarikat rakaman sebelum ini menyatakan bahawa sebarang isu yang terjadi telah pun diselesaikan, namun sebaliknya yang berlaku. Walau bagaimanapun, WPE tetap kesal dengan kesulitan yang dihadapi Dayana Amerda atau nama sebenarnya Siti Amirah Dayana Mohd Amerullah, dan keluarganya mengenai isu hak cipta dan tuntutan beliau.

Pihak WPE juga meminta sekiranya Dayana mahupun wakilnya ingin menuntut sebarang hak, supaya menghubungi mereka dengan mengemukakan bukti-bukti yang kukuh. Terdahulu, Dayana dan pihak keluarga mengadakan satu sidang media yang meminta Naim Daniel untuk tampil dan menyelesaikan masalah hak cipta lagu yang berjudul Sumpah.

Isu pertikaian hak cipta lagu 'Sumpah' tercetus sekitar Julai tahun lalu apabila lagu itu dikatakan menceritakan kisah percintaan mereka. Difahamkan, lagu 'Sumpah' itu dihasilkan Naim dan Dayana pada tahun 2015 ketika mereka sedang menjalin hubungan cinta.

Kelmarin, wanita yang didakwa bekas kekasih Naim itu memberikan tempoh seminggu kepada penyanyi itu untuk membuat pengakuan terbuka berhubung isu penciptaan bersama lagu 'Sumpah'. Dayana mendakwa, dia dan Naim mencipta lagu 'Sumpah' pada 2015. Pada Julai tahun lalu, Dayana pernah menimbul isu berkaitan hak penciptaan lagu 'Sumpah', tetapi tiada penyelesaian.








www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Instagram Ajai, TV3 & Naim Daniel


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: