01 March 2020

"WAJAR KE SESEORANG MENUNTUT TETAPI KITA DATANG KEPADA DIA?" - NAIM DANIEL


"Pihak Dayana nak buat sidang media pun tanpa pengetahuan saya dan pengurusan. Alhamdulillah, Allah permudahkan ada kenalan memberitahu saya tentang acara itu. Saya ada hubungi ibu dia untuk bertemu dan berbincang secara baik tetapi pihak sana yang tak nak sebab katanya nak selesaikan sidang media dahulu.





"Kalau permainan ini yang mereka pilih, saya okey dan tak pernah menghalang apa-apa. Tapi seperti yang saya katakan jika ada bukti, emel kepada saya. Wajar ke seseorang yang ingin menuntut sesuatu tetapi kita pula yang kena datang kepada dia?" ujar penyanyi Naim Daniel berhubung konflik yang melanda dirinya dengan bekas kekasihnya iaitu Dayana Emerda yang masih belum menemui jalan penyelesaian.

Naim, 23, berkata dia pernah menghubungi ibu Dayana untuk bertemu dan menyelesaikan kemelut mereka secara baik namun ditolak. Namun, Naim dan pihak syarikatnya WPW Entertainment tetap dengan pendirian mereka untuk meminta Dayana menghantar segala bukti yang ada melalui kiriman emel.

Sebelum ini, isu pemilikan lagu Sumpah terus berpanjangan apabila Dayana membuat tuntutan mendaftar semula lagu tersebut sebagai karya bersama. Kemelut antara mereka timbul selepas lagu ciptaan Naim Daniel dan Omar K itu dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) pada 9 Fabruari lalu.

"Mudah sahaja... Tunjuk bukti dalam e-mel. Bukan saya sengaja mahu memanjangkan kemelut ini. Tetapi, saya kira, permintaan agar mereka mengirim e-mel adalah kaedah paling cepat dan mudah. Saya tetap dengan pendirian ini atas nasihat peguam.

Klik untuk gambar besar


"Saya tidak mahu menjadi seperti burung kakak tua yang boleh bersuara, namun tidak tahu apa yang diperkatakan. Saya percaya, kita boleh bertindak dengan cara paling profesional berbanding memilih menyelesaikannya pada sidang media," katanya.

Dalam pada itu, Naim yang juga seorang pelakon memberitahu dia dan syarikat pengurusannya, WPW Entertainment berbesar hati sekiranya pihak Dayana ingin menyelesaikan cara baik. Menurut Naim, dia tidak mahu menjadikan isu itu menganggu karier seninya kerana ingin berada dalam keadaan sentiasa positif sahaja.

"Senang sahaja, bagi segala bukti kalau dia nak selesaikan dengan cara elok sebabnya saya serta pengurusan saya memang berlapang dada. Insya-Allah, kalau dia tampil dengan bukti, pihak saya dan pengurusan akan berbincang dan kaji terlebih dahulu untuk melihat sama ada betul atau tidak.

"Barulah pihak pengurusan boleh mengambil tindakan selanjutnya. Tapi kalau mereka masih nak bermain dengan cara itu, terpulang. Daripada fikir isu itu, lebih baik saya fokus kepada orang yang saya perlu hargai iaitu peminat yang sentiasa menyokong dan mendoakan baik-baik," ujarnya.




www.myartis.com / Sumber & foto: mStar, Berita Harian & Instagram Naim Daniel


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: