13 April 2020

BERJAUHAN KERANA PKP - ISSEY BERSYUKUR ISTERI DAPAT TUKAR KE KL


"Alhamdulillah, isteri saya sudah mendapat surat pertukaran di mana bulan hadapan, dia akan bekerja di Kuala Lumpur. Saya percaya ini adalah hikmah di sebalik tempoh berjauhan kami akibat PKP. Allah mahu mengajar saya bersabar sekejap. Kali terakhir kami berjumpa seminggu sebelum PKP. Memang rindu, apatah lagi kami baru berkahwin.





"Jika diikutkan, sejak Disember, kami tidak pernah gagal berjumpa. Ada sahaja masa bersama sekurang-kurangnya, seminggu sekali," demikian kata penyampai radio dan pelawak, Issey yang gembira apabila isterinya bakal berpindah ke sini, bulan hadapan, selepas hampir sebulan berjauhan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Issey atau nama sebenar, Fazlisham Mat Hussin, 32, menganggap berita itu sebagai hikmah besar di sebalik pelaksanaan PKP. Issey menamatkan zaman duda dengan rakan sekolah, Noor Aimi yang bekerja sebagai pengurus sumber manusia berasal dari Kelantan, pada 22 Disember tahun lalu.

Klik untuk gambar besar


Sejak bernikah, Issey dan isteri bergilir-gilir datang menjenguk, sama ada dia ‘terbang’ ke Kota Bharu, atau Noor Aimi datang ke sini. Namun, apabila PKP dilaksanakan, mereka tidak dapat berjumpa: "Kami mengamalkan hubungan jarak jauh. Kami berjumpa seminggu sekali atau dua minggu sekali. Jika isteri saya tidak datang ke Kuala Lumpur untuk urusan kerja, saya pulang ke Kelantan," jelasnya.

Issey berkata, sejak isteri tidak dapat datang ke sini, banyak perkara terpaksa dilakukan sendirian: "Kalau dulu isteri akan kemas rumah apabila dia pulang ke sini, tapi sekarang kena kemas sendiri. Dahulu apabila tinggal sendirian, saya beli sahaja makanan. Sekarang, dalam keadaan begini, saya terpaksa teroka dapur dan masak sendiri berpandukan maklumat daripada internet," tuturnya.

Bagaimanapun, Issey mengaku mempelajari banyak perkara malah berterima kasih dengan teknologi kerana menghubungkan keluarganya: "Sekarang masanya untuk saya memaksimumkan kebergantungan kepada teknologi. Setiap malam, apabila anak-anak sudah tidur, saya dan isteri akan buka laptop untuk membuat panggilan video menerusi Skype.



"Hal memasak pun saya buat panggilan video kepada isteri. Misalnya, apabila lihat di YouTube, tukang masak cakap tumis sampai pecah minyak. Namun, sebagai lelaki yang tidak pernah buat kerja dapur, saya tak tahu macam mana rupanya pecah minyak, jadi terpaksalah telefon isteri," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Issey yang juga penyampai radio Suria FM, bersiaran dari rumah: "Kami ke udara dari rumah tapi bukan setiap hari. Ada kalanya saya akan ke konti tapi mengikut giliran. Kami bertiga tidak bersama di konti.

"Kadang-kadang saya berseorangan disusuli Fizi Ali atau Ajak Shiro bergilir-gilir," kata Issey yang mengendalikan program Team Pagi Suria bersama Fizi dan Ajak setiap Isnin hingga Jumaat mulai jam 6 pagi hingga 10 pagi.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & Instagram Issey


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: