02 April 2020
ISU PERTIKAI BANTUAN B40 & M40 - VIVY YUSOF MINTA MAAF
Meskipun ada petisyen yang menggesa ahli perniagaan popular, Datin Vivy Yusof meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mencatat lebih 103,000 tandatangan, namun Vivy menafikan ada mengeluarkan kenyataan mempertikaikan langkah kerajaan memberi bantuan kepada golongan B40 dan M40 seperti tular dalam media sosial.
"Perkara ini timbul dalam siaran langsung Facebook (FB) Live, bukan FB saya. Saya tiada akaun FB, tetapi saya menonton ‘live’ itu.
"Saya tidak mempertikaikan pemberian bantuan kepada golongan berkenaan seperti didakwa. Sebaliknya, saya bimbang nasib akan menimpa ahli perniagaan dan pekerja disebabkan kelembapan ekonomi.
"Selain itu, saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengatakan golongan berkenaan tidak menyumbang kepada ekonomi negara menerusi FB Live itu," ujarnya dipetik menerusi video yang dimuat naik.
Sehubungan itu, Vivy turut memohon maaf secara terbuka kepada golongan B40 dan M40 yang tersinggung dengan kenyataannya gara-gara tohmahan melampau yang diterimnya sejak tiga hari lalu.
"Ibu bapa dan suami terkesan dengan kecaman netizen. Ia amat berat untuk ditanggung kerana dikecam pada peringkat nasional.
"Saya bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memutar belit kenyataan dan melancarkan petisyen minta saya meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Universiti Teknologi MARA (UiTM)," tambahnya.
Klik untuk gambar besar
Dakwa Vivy, dia tak pernah memandang rendah kepada golongan B40 dan M40 seperti didakwa. Malah, dia tidak akan mengambil tahu nasib golongan berkenaan jika tidak menyayangi mereka.
"Saya tak akan ambil peduli atau menghulurkan bantuan sekiranya memandang rendah kepada golongan ini. Saya juga tidak akan mewujudkan tabung untuk mereka.
"Saya risau dan mengambil berat mengenai nasib mereka dalam keadaan sekarang. Mungkin kesilapan datang daripada saya.
"Saya banyak bermuhasabah sepanjang tiga hari ini. Saya akan lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan atau berkongsi dalam media sosial,” jelasnya.
"Cuma agak kecewa kerana netizen mempercayai tanpa memeriksa kesahihan fakta sebelum berkongsi dengan meluas dan mengulang ciap di laman Twitter. Tak pasal mereka mengutip dosa," katanya yang menganggap insiden itu menjadi pengajaran terbesar buatnya.
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment