19 April 2020

RASA RINDU - ZIELA JALIL BANGGA ANAK, MENANTU PEJUANG BARISAN HADAPAN


Pelakon dan penerbit Pena Creative Pictures, Datuk Ziela Jalil, 50, hanya menahan hati meskipun jauh di sudut hati terbit kerinduan apabila berjauhan dengan anak, cucu dan menantu. Sebagai ibu, tiada yang lebih membanggakan apabila melihat anak dan menantu menjadi pejuang barisan hadapan bagi menyelamatkan nyawa ketika penularan wabak COVID-19.





Katanya, dia hanya sempat dua kali bertemu dengan anak sulungnya, Dr Puteri Julia Nabilah, menantu Dr Dziya Faqhran Mahmod Fauzi dan cucunya, Tun Alayna Zeeya. Selain telefon, panggilan video dan Instagram menjadi penghubung apabila merindui cucunya yang tinggal bersama keluarga besan di Shah Alam, Selangor.

"Sebagai manusia biasa, sesekali Julia mengadu kepenatan kerana bekerja dari pagi hingga malam, setiap hari. Ada ketikanya, anak dan menantu dipanggil bekerja tidak kira masa. Saya sentiasa memberikan kata perangsang supaya Julia tidak putus asa. Julia mengadu penat kerana waktu kerjanya yang sentiasa padat sepanjang penularan COVID-19.

"Julia meluahkan rasa sedih dan bersalah apabila jarang meluangkan masa bersama anaknya. Apabila pulang anaknya sudah pun tidur. Dia juga jarang bertemu suami kerana mereka bertugas di hospital berbeza," jelasnya.

Pelakon filem 'Mr Os' dan 'Driving School' itu berkata, dia akan membuat panggilan video untuk berbual dengan cucunya setiap hari, sebelum ini: "Bagaimanapun, jadual tugasan Julia tidak menentu, jadi saya jarang dapat membuat panggilan video untuk melihat cucu. Hanya dapat menatap gambar yang dikirimkan anak ataupun besan.

Klik untuk gambar besar


"Sebagai ibu, saya tak boleh tunjuk lemah, sebaliknya saya sentiasa memberikan dorongan kepada Julia. Saya selalu pesan pekerjaan yang dilakukan sangat mulia untuk menaikkan semangatnya. Saya mengingatkannya, apa sahaja kebaikan yang dilakukan akan sampai kepada bapa, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub. Jadi, saya mahu Julia banyak berdoa dan berzikir ketika merawat pesakit," tutur Ziela.

Melihat petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus hingga ada yang tidak dapat bertemu keluarga, Ziela berkata, terbit rasa tidak puas hati terhadap mereka yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa.

"Saya jadi geram apabila segelintir rakyat Malaysia tidak mematuhi arahan kerajaan dan kereta masih banyak di jalan raya. Bayangkan, kita hanya diminta duduk di rumah, tetapi itu pun sukar mematuhinya.

"Sedangkan, petugas barisan hadapan yang terpaksa bekerja siang malam cemburu melihat kita yang duduk di rumah bersama keluarga. Jika arahan semudah ini pun sukar dipatuhi, jadi bagaimana mahu melihat rantaian COVID-19 diputuskan?," ujarnya yang hanya keluar rumah apabila perlu sahaja.

Katanya, dia mempunyai ibu berusia 70 tahun, jadi mengelak daripada kerap keluar rumah kerana bimbang ibunya dijangkiti COVID-19: "Saya memang elak kerap keluar rumah. Hanya seminggu sekali sama ada saya atau anak kedua, Megat Jufri Nasrullah. Kami akan terus mandi dan merendam pakaian yang dipakai, sebaik tiba di rumah sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: