27 May 2020

SEKIAN MENYEPI - RIMA RASHIDI TAMPIL DENGAN SINGLE RAYA, "SELAMAT HARI RAYA DUNIA'


Sekalipun sudah memperlahankan kerjaya seni sejak berkahwin dan memiliki cahaya mata, minat penyanyi popular awal 1990-an, Rima Rashidi, 48, dalam dunia nyanyian tidak pernah luntur. Bagaimanapun, sebelum ini, penyanyi yang popular menerusi lagu 'Kasih Berbunga Lalang' itu aktif mengajar vokal, menerusi sekolah vokal di ibu kota, Vocal Wealth Networks yang ditubuhkan bersama bekas gurunya, guru vokal terkenal, Siti Hajar pada 2009.





Ketika mula-mula menceburi bidang seni, Rima pernah belajar vokal dengan Siti Hajar selama empat tahun, selain mendalami bidang vokal secara teori dan praktikal di The Associated Board Of The Royal. Selepas hampir 20 tahun tenggelam timbul, buat kali pertama, penyanyi dan pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu muncul dengan single raya berjudul 'Selamat Hari Raya Dunia' berduet dengan penyanyi Singapura, Zac Rosli.

Single 'Selamat Hari Raya Dunia' cipta dan lirik oleh Zac menjadi pertaruhan terbaharu Rima selepas 34 tahun bergelar anak seni: "Lagu ini kami rakam secara berasingan di rumah masing-masing pada 20 Mei lalu. Saya di Malaysia, manakala Zac di Singapura. Zac juga terbabit untuk susunan muzik.

"Saya pernah merakamkan semula dua lagu raya, 'Selamat Hari Raya' dendangan asal Allahyarham Puan Sri Saloma pada 1992, diikuti 'Sabarlah Sayang' (Sanisah Huri) pada 1993 ketika bernaung di syarikat rakaman, Sony Music. Dua lagu ini dimuatkan dalam album Bingkisan Aidilfitri Volume 1 dan 2. Pastinya peluang menyanyikan lagu raya memberi terjemahan berbeza," jelasnya.

Lebih penting, lagu raya dirakamkan pada saat dunia diuji dengan pandemik COVID-19: "Inilah lagu raya dikenang hingga akhir hayat kerana ia dirakamkan ketika seluruh dunia diuji dengan wabak COVID-19.

"Raya kali ini juga berbeza dengan tahun sebelumnya. Jadi, sentuhan lagu 'Selamat Hari Raya Dunia' juga tidak sama dengan lagu raya biasa. Lagu ini dekat di hati saya. Saya optimis ia juga dekat dengan pendengar," katanya.

Rima berkata, kerjasama membabitkan dua negara ini juga bersifat luahan perasaan: "Saya lihat Zac lebih kepada penulisan lagu, susunan muzik dan pemain bass yang bagus. Hubungan kami rapat, jadi saya paksa Zac menyanyi sekali untuk lagu raya ini," ujarnya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: