06 June 2020
AHMAD IDHAM KEMBALI JADI CEO FINAS SELEPAS HAMPIR 3 BULAN LETAK JAWATAN
"Alhamdulillah, selepas hampir tiga bulan berehat saya kembali semula ke Finas. Saya sangat bersyukur kerana mendapat kepercayaan daripada pihak Finas dan juga Datuk Saifuddin Abdullah. Sebenarnya tarikh akhir saya bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekulif pada 11 Mac lalu tapi ketika itu saya hanya mendiamkan diri saja mengenai perkara itu kerana menganggap ia perkara biasa yang berlaku.
"Selama hampir tiga bulan ini, saya sudah mempersiapkan diri dengan membuat kajian dan membaca segala teori mengenai bagaimana untuk membangkitkan semula industri seni dalam sektor ekonomi. Jadi, saya sudah bersedia dan memang perlu bersedia untuk menghadapi cabaran dan dugaan selepas ini memandangkan industri seni sangat terkesan disebabkan krisis penularan wabak Covid-19," tutur pengarah filem, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
Selepas hampir tiga bulan melepaskan jawatan sebegai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Ahmad Idham dilantik semula menerajui agensi itu berkuatkuasa Jumaat. Ahmad Idham, 46, yang dihubungi meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada ahli lembaga pengarah dan pengerusi Finas, Zakaria Abd Hamid serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah atas kepercayaan terhadapnya.
Ahmad Idham berkata, dia bersyukur atas perlantikan dan kepercayaan yang diberikan: "Saya akan meneruskan perjuangan ini. Insya-Allah, saya akan melaksanakan tugas yang terbaik demi pembangunan industri kreatif yang disayangi ini. Saya akan memulakan tugas pada Selasa depan," katanya.
Klik untuk gambar besar
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Finas mengumumkan pelantikan semula pengarah filem box-office, 'Adnan Sempit' dan 'Jangan Pandang Belakang Congkak' itu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas baharu untuk tempoh dua tahun berkuatkuasa semalam iaitu 5 Jun hingga 6 Jun 2022.
Terdahulu, Ahmad Idham dilantik memegang jawatan ini bagi tempoh dua tahun berkuakuasa 11 Mac 2019 dan akan berakhir pada 10 Mei 2021. Beliau bagaimanapun melakukan kejutan apabila memohon untuk memendekkan tempoh perkhidmatannya pada 10 Mac lalu atas alasan peribadi.
Dalam pada itu, Ahmad Idham memberitahu dia sudah melakukan persiapan untuk menghadapi cabaran baharu dan akan bekerja keras untuk membangkitkan semula sektor ekonomi industri kreatif. Selain itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan Finas turut berterima kasih kepada kerajaan di atas keprihatinan terhadap pembangunan semula sektor ekonomi terutama industri kreatif negara yang terjejas akibat wabak Covid-19 dengan memperkenalkan insentif dan dana.
Sementara itu, Finas berbesar hati mengumumkan pelantikan Ahmad Idham sebagai CEO FINAS yang baharu berkuat kuasa hari ini hingga 6 Jun 2022: "Semoga pelantikan beliau, FINAS akan terus menjana kecemerlangan sebagai badan yang maju, menggalak dan memelihara industri perfileman negara," kata FINAS menerusi kenyataan media, malam ini.
Finas merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan terhadap pembangunan semula sektor ekonomi industri kreatif negara yang terjejas berikutan wabak COVID-19 dengan menyediakan insentif dan dana.
Sehubungan itu, FINAS menyambut baik atas peruntukan sebanyak RM225 juta sebagai insentif rangsangan ekonomi kepada industri ini melalui Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek yang telah diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat: "Beberapa program dan kemudahan kewangan menjana semula industri kreatif akan dikawal selia oleh menteri yang pastinya akan memberi manfaat kepada penggiat seni," kata lampiran kenyataan berkenaan.
www.myartis.com / Sumber: mStar, Harian Metro & Berita Harian
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment