13 June 2020

DEMAM PANAS & JANGKITAN DARAH - FENDY BAKRY RELA LEPASKAN WATAK PADA PELAKON LAIN


Pelakon Fendy Bakry terpaksa mengambil cuti panjang daripada dunia seni sehingga kesakitan ditanggung pulih kerana tiada yang lebih penting selain kesihatan. Dimasukkan ke hospital akibat demam panas dan jangkitan darah, penyandang trofi Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 ini perlu memberi masa untuk dirinya benar-benar sihat.





Enggan memperincikan penyakit dihidapi, namun mengaku sedang menjalani rawatan, Fendy terpaksa menolak watak utama dalam telefilem Ungku. Peluang berlakon bersama Nora Danish dan Nazeera Sardi dalam telefilem itu terpaksa dilupakan demi kebaikan produksi.

"Sebenarnya, penggambaran telefilem Ungku sempat dibuat selama dua hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan. Namun, sekarang, penggambaran boleh disambung dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Cuma, saya tidak boleh pentingkan diri. Saya kena lepaskan watak Bahari dalam projek itu biarpun berat melakukannya. Saya kena berehat panjang kerana perlu mengutamakan soal kesihatan. Apatah lagi, saya tidak mahu hanya kerana masalah kesihatan, orang lain terganggu," tuturnya.

Fendy atau nama sebenarnya, Mohd Affandi Nor Bakri memberitahu, dia sudah memaklumkan kepada syarikat produksi mengenai keputusan menarik daripada produksi berkenaan: "Saya difahamkan sudah ada pengganti untuk watak Bahari.

Klik untuk gambar besar


"Apa yang penting, saya tidak mahu berulangnya insiden ketika menjalani penggambaran drama Mr Grey, beberapa tahun lalu. Ketika itu, 'shooting' terganggu kerana masalah kesihatan saya yang tidak menentu," ujarnya.

Fendy juga terpaksa menolak tawaran Astro membintangi drama 70 episod berikutan tidak sihat. Mengenai keadaan dirinya sekarang yang masih dirawat, Fendy mengaku semakin pulih: "Saya okay, jangan risau. Saya tidak mahu membuatkan orang lain bimbang mengenai kesihatan diri.

"Saya juga bebas daripada demam denggi atau wabak COVID-19. Saya tidak pasti berapa lama ditahan di hospital. Semuanya bergantung kepada pemantauan doktor dan keputusan analisis," jelas pelakon drama 'Mr Grey' itu.

Sementara itu, penerbit telefilem Ungku, Country & Universal Sdn Bhd, Jalena Rejab mengaku berat hati mencari pengganti Fendy: "Watak Bahari sudah sesuai dan serasi dengan Fendy. Dia sangat cemerlang menghidupkan watak berkenaan.

"Apatah lagi cerita itu amat bagus. Tetapi saya terpaksa akur dengan kesihatan dirinya," kata Jalena yang turut memberitahu dia memilih Azlee Khairi sebagai pengganti Fendy dengan penggambaran telefilem arahan Yeop Hitler itu terpaksa diulang.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Fendy Bakry


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: