28 July 2020

ALYA IMAN NAFI KIKIS RM2.3 JUTA, TAK KENAL LELAKI DAKWA BEKAS 'BOYFRIEND'



"Saya sedar melakukan kesilapan dan mahu memperbetulkan keadaan. Bagaimanapun, saya tak pernah menerima wang berjumlah RM2.3 juta seperti didakwa. Saya tak mengenali lelaki yang mendakwa bekas teman lelaki. Saya risau dakwaan yang tidak masuk akal ini boleh menjejaskan kehidupan harian, apatah lagi saya baru sahaja bekerja di bahagian komunikasi korporat syarikat swasta selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," kata Alya Iman.



Kisah Alya, 19, menjadi perosak rumah tangga seorang usahawan hingga menjadi kecaman netizen belum pun reda lagi namun timbul pula dakwaan model dan pelakon baharu itu mengikis wang berjumlah RM2.3 juta daripada bekas teman lelaki.

Lelaki itu mendakwa menjalinkan hubungan dengan anak pelakon 'Ali Setan', Allahyarham Azmil Mustapha awal tahun ini, tetapi mengambil keputusan memutuskan hubungan berikutan mendakwa Alya 'pisau cukur'. Bagaimanapun, anak bongsu arwah Azmil itu menafikan menerima wang jutaan ringgit daripada mana-mana pihak. Alya berkata, dia tidak mengenali lelaki yang mendakwa pernah menjalin hubungan dengannya hingga sanggup menabur jutaan ringgit sepanjang percintaan.

Alya mendakwa, dia mengenali bapa kepada dua cahaya mata itu pada Jun 2019. Mengenali lelaki itu atas urusan kerja ketika bertugas sebagai ejen produk kesihatan, lelaki itu kemudian melamarnya dan mengikat tali pertunangan pada 27 Februari lalu, sempena ulang tahun kelahirannya. Alya kemudiannya memutuskan ikatan pertunangan tersebut selepas mengetahui hubungan tidak diketahui dan dipersetujui isteri lelaki berusia 30 tahun itu.

Klik untuk gambar besar

Berhubung dakwaan keluarga tidak hadir hadir majlis pertunangan pada Februari lalu, Alya menjelaskan yang ibu kandung dan kakaknya menghadiri majlis berkenaan. Alya turut mengemukakan bukti, namun meminta gambar berkenaan tidak disiarkan untuk menjaga sensitiviti.

Alya atau nama penuhnya, Nur Alya Iman Azmil mendakwa, hubungannya dengan adik beradik tidak begitu akrab selepas pulang dari Syria pada 2012. Abang dan dua dua kakaknya membawa haluan masing-masing:"Saya hidup berdua bersama arwah Babah hingga beliau meninggal dunia pada 2018.

"Saya mula bekerja sebagai model pakaian dan hanya bersekolah dari rumah sejak 2014. Saya kena bekerja untuk menampung kehidupan bersama arwah, di samping membiayai kos rawatan untuknya. Sebelum arwah Babah meninggal dunia, saya diamanahkan kepada ibu bapa angkat. Jadi, hubungan saya dan ahli keluarga lain bukanlah seperti keluarga biasa," dakwanya.


Pelakon drama 'Senafas Rindu' dan 'Gaun Pengantin Ivory' itu mengakui, cukup terkesan dengan kontroversi yang menghimpit dirinya: "Saya sedih dengan apa yang berlaku dan menjadikan kontroversi ini sebagai pengajaran paling berharga. Bagaimanapun, ia tidak sesekali mematahkan semangat untuk terus melangkah dalam dunia seni kerana lakonan kini menjadi mata pencarian saya," tuturnya.

Mengulas tidakkah bimbang kontroversi berlaku akan memberi impak kepada perhubungannya pada masa akan datang, Alya berkata, dia reda dengan apa sahaja rintangan yang mendatang: "Sekali lagi saya mohon maaf kepada semua pihak. Saya tak berniat mahu mengaibkan sesiapa, tetapi saya perlu memberikan penjelasan menerusi saluran yang betul.

"Saya juga sudah mendapatkan nasihat peguam, tetapi mengambil keputusan tidak mengambil sebarang tindakan buat masa ini. Saya faham situasi berlaku dan amarah sesetengah pihak dan netizen kerana kesilapan dilakukan. Saya terima nasihat, kecaman dan 'provokasi' yang dilemparkan netizen dengan hati yang terbuka," ujarnya yang mengakui kini menjalinkan hubungan cinta dengan seorang lelaki berstatus duda anak dua bernama Ridhwan Rosli.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: