23 July 2020

FAZLINA AHMAD DAUD TERGURIS NAMA AYAH & IBU TERSERET



Pelakon Fazlina Ahmad Daud melihat kehidupan dari sudut berbeza selepas pelbagai perkara negatif termasuk isu bantuan dan kontroversi menghambat kakaknya, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa. Berkurung di rumah sambil menyaksikan pelbagai perkara diperdebatkan dalam media sosial membuatkan pelakon hebat itu semakin berhati-hati memilih kawan.



Baginya, biar apapun masalah melanda, media sosial tidak perlu dijadikan tempat melepaskan geram. Baginya, langkah itu tidak akan membuka jalan penyelesaian, malah mengusutkan lagi keadaan bagai tali tersimpul mati.

"Sepanjang fasa permulaan PKP, saya lihat banyak perkara negatif membabitkan industri hiburan dicetuskan dalam media sosial. Banyak nama anak seni terheret dalam kontroversi isu bantuan. Malah, ia juga berlaku kepada kakak saya sendiri, Fauziah Ahmad Daud.

"Perkara ini banyak mengajar saya mengenai hubungan sesama manusia. Jika kita ada masalah dengan seseorang, tidak perlulah canang satu dunia kerana industri hiburan kecil sahaja. Kita tidak tahu, akan berjumpa orang yang sama, suatu hari nanti," katanya kepada BH Online.

Fazlina atau lebih mesra disapa Kak Baby dalam kalangan penggiat seni mengakui, perkembangan itu menakutkan dirinya dalam menjalin persahabatan: "Mungkin kerana itu, saya tiada kawan baik dalam kalangan artis.

"Kita tidak tahu, bagaimana nilai persahabatan atau ikatan silaturahim itu ikhlas atau sebaliknya, sehinggalah hubungan diuji. Hari ini kita boleh bertepuk tampar, tiba-tiba apabila berdepan situasi yang tidak terduga, daripada bersahabat, boleh bertukar menjadi musuh," katanya.

Sebagai adik, Fazlina kagum dengan semangat yang ditunjukkan kakak tatkala berdepan kontroversi. Malah, kata pelakon berusia 45 tahun ini, Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy, tidak pernah merungut dan reda dengan takdir yang menimpa dirinya.

"Setiap kali bertemu kakak, dia sering beritahu, walau apapun terjadi, dia tetap akan menjelaskan semua hutang. Cuma pesannya, jangan sesekali campur tangan dalam isu ini. Apa yang saya tidak faham, kenapa apabila melihatnya berdiam diri, timbul cakap-cakap belakang mendakwa dia mahu melarikan diri daripada tanggungjawab. Kenapa perlu kecam atau beri tekanan kepada kakak?" katanya.

Tambah melukakan, Fazlina terguris apabila netizen memetik nama ayah dan ibu, iaitu seniman, Allahyarham Datuk Ahmad Daud dan seniwati, Allahyarhamah Datin Saadiah dalam kontroversi itu: "Kenapa perlu sebut nama mereka yang tidak ada kena mengena dalam hal ini. Orang hanya tahu bercakap tetapi tidak tahu bagaimana kami semua bergelut dalam situasi ini," kata pelakon drama Adellea Sofea itu.

Isu bayaran pelakon dan kru teater komedi seram, Korupsi Dewan Semandung yang dipentaskan di Istana Budaya (IB), Februari lalu, hangat diperkatakan apabila seorang demi seorang tampil bersuara, baru-baru ini.

Mereka mendakwa penerbit, Syarikat Ogy Ventures & Network milik Ogy, belum melunaskan baki bayaran. Ogy bagaimanapun dilaporkan menjelaskan, semua bayaran tertunggak akan dilangsaikan seperti dijanjikan.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: