13 July 2020

JADI 'HOTLINE' UNTUK MASYARAKAT SEJAK COVID-19 - DAFI AKUR



"Sejak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar Mac lalu, saya banyak mendapat maklumat daripada orang ramai mengenai apa sahaja situasi yang berlaku menerusi media sosial. Masih ada lagi yang tetap menghantar mesej (DM) di Instagram. Malah, pelbagai persoalan ditanyakan mereka yang meminta saya menyampaikan kepada bapa.



"Termasuk, perkongsian video juga. Sebagai salah seorang rakyat Malaysia, saya juga peka dan ambil tahu dengan keadaan yang berlaku pada ketika negara kini giat menangani Covid-19 daripada terus menular," jelas penyanyi dan pelakon Dafi Ismail Sabri, 32.

Dafi akur ada kalanya dia umpama 'hotline' Kementerian Pertahanan yang diterajui oleh bapanya kerana menerima pelbagai maklumat daripada masyarakat berhubung situasi semasa negara. Dafi atau nama sebenar Gadaffi Ismail Sabri, adalah anak kedua Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang begitu menjadi perhatian masyarakat.

Dafi yang sangat menghargai keprihatinan masyarakat Malaysia terhadap tanggungjawab besar digalas bapanya sebagai Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), berharap kita semua tidak mudah leka.

"Saya harap semua masyarakat di negara ini akan terus mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan untuk kita bersama-sama menghadapi pandemik ini. Kita masih belum menang dan saya juga mengingatkan diri sendiri untuk teus mengikut SOP yang dibuat itu. Seiring lagi dengan konsep 'kita jaga kita," katanya.

Menurut Dafi, bagi sesiapa yang tidak sihat, jangan keluar rumah. Ujarnya, lakukan langkah pencegahan tambahan dengan kuarantin diri sendiri dan tidak ke mana- mana. Kata pelakon drama Dia Semanis Honey ini, dalam keadaan sekarang setiap orang tidak boleh ada sikap pentingkan diri.

Jelasnya, walaupun negara kini dalam proses Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak 10 Jun lalu hingga 31 Ogos nanti, kita mesti terus berjaga-jaga. Untuk perkembangan kerjaya seninya, Dafi yang pernah menyertai Akademi Fantasia musim kelima (AF5) pada 2008, kini dalam proses mencari material lagu solo terbaharu untuk dirakam.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: