04 July 2020

TIDAK BERSENDIRIAN - EBBY YUS BERSYUKUR DIKELILINGI SAUDARA-MARA & TEMAN YANG AMBIL BERAT


"Alhamdulillah, tidak langsung rasa tersisih atau sunyi walaupun hidup bersendirian. Saya dikurniakan keluarga dan sahabat handai yang sentiasa prihatin dengan saya. Mereka sentiasa bertanya khabar dan menghulurkan bantuan walaupun tidak dipinta. Saya hidup seorang, banyak manapun wang yang diperlukan.





"Bagi saya, pendapatan yang diraih daripada ulasan produk dan muncul IG Live sudah memadai," kata pelakon dan pelawak, Ebby Yus, 56, yang tidak pernah terpinggir atau sunyi biarpun tinggal sendirian kerana dikelilingi rakan yang prihatin.

Ebby atau nama sebenar, Muhammad Yunus Abdul Rashid berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, Mac lalu, keluarga dan rakan-rakan termasuk teman artis, sentiasa bertanya khabar sambil menghulur bantuan. Walaupun banyak projek penggambaran tertangguh akibat PKP, namun, Ebby yang berasal dari Negeri Sembilan, bersyukur dapat menjana pendapatan dengan membuat ulasan produk di Instagram (IG).

Ebby berkata, antara teman artis yang sering membantu adalah Sabri Yunus, Man Raja Lawak, Shuib Sepahtu, Jepp, Ajak dan Johan: "Saya bersyukur kerana dipertemukan dengan insan prihatin yang sentiasa mengambil berat mengenai diri saya," tuturnya.

Bakal kembali ke set penggambaran untuk menjayakan sitkom popular, Jenaka Kampung Kalut ( JKK) di TV3, Ebby lega syarikat produksi diberi 'lampu hijau' untuk menyambung aktiviti penggambaran. Ebby juga bersyukur khidmatnya bersama stesen radio, Negerifm disambung selepas PKP. Sudah dua minggu bertugas, Ebby mengendalikan segmen Oghok Potang dua kali seminggu iaitu Khamis dan Jumaat dari jam 2 hingga 6 petang.

"Saya gembira khidmat masih diperlukan. Sekurang-kurangnya, ada pendapatan tetap setiap bulan selain 'job' lakonan dan reviu produk. Walaupun terpaksa berulang alik dua kali seminggu ke Seremban, saya seronok bertugas di stesen radio itu. Saya tidak menyangka mereka masih memerlukan khidmat saya selepas PKP," ujarnya.

Bekerja dengan stesen radio itu, Ebby lebih suka dirinya tidak 'terikat': "Bukan apa, saya tidak mahu mereka terpaksa bayar gaji walaupun tidak berpuas hati dengan prestasi saya. Bagi pihak saya pula, jika ada perkara yang tidak memuaskan hati, saya boleh berundur diri pada bila-bila masa. Itulah alasan mengapa saya tidak mahu 'terikat' dengan mereka," jelasnya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: