07 August 2020

DILANTIK DUTA RANTAU ASIA TENGGARA - NEELOFA SYUKUR PELUANG BAWA IMEJ MUSLIMAH



Pengacara, pelakon dan usahawan Noor Neelofa, 31, baru-baru ini telah dilantik sebagai duta rantau Asia Tenggara jenama kecantikan antarabangsa Lancome dan sekali gus menjadikan Neelofa sebagai individu Malaysia pertama yang mewakili jenama produk kecantikan yang berasal dari Perancis itu.


Menurut hos rancangan 'Next to Neelofa' ini, dia menzahirkan rasa kesyukuran serta terharu atas pelantikannya itu serta berpeluang membawa imej muslimah berhijab di mata dunia: "Jenama kecantikan ini banyak menyokong kerjaya saya sejak lima tahun lalu.

Sudah lama saya menyimpan impian untuk bekerjasama dengan jenama yang mengutamakan kebahagiaan, cita-cita, dan menjalani kehidupan sepenuhnya dengan indah serta bermakna. Saya tak sangka diberi berpeluang menjadi wanita Malaysia pertama dilantik sebagai duta Asia Tenggara bagi produk ini, lebih-lebih lagi menjadi individu berhijab pertama.

Ia satu tugas yang besar dan tanggungjawab baru yang perlu saya bawa. Sejujurnya, sukar nak percaya apabila saya berjaya sampai ke tahap ini," kata Neelofa atau nama penuhnya Noor Neelofa Mohd Noor ini

Klik untuk gambar besar


Bekas hos program hiburan MeleTOP ini juga merasakan ia sebagai salah satu jihad kecilnya memperkenalkan imej muslimah di mata dunia: "Mewakili wanita muslim berhijab bersama produk antarabangsa ini boleh dianggap sebagai jihad kecil saya. Saya mahu membuktikan wanita berhijab juga boleh melakukan pelbagai perkara luar biasa. Saya harapkan jalinan ini dapat mendapat keberkatan daripada-Nya," tuturnya.

Tambah Neelofa lagi dalam majlis pengumumannya sebagai duta rantau Asia Tenggara yang pertama untuk jenama kecantikan antarabangsa Lancome, pemilihannya sebagai duta boleh dianggap sebagai satu kejayaan buat Malaysia kerana selama ini, wajah produk antarabangsa itu sering ditawarkan kepada negara-negara lain.

"Jenama ini sering tampil dengan wajah dan duta dari Jepun, Korea dan China. Selalunya wakil daripada Asia Tenggara tidak dipandang sangat. Siapa sangka, akhirnya wakil daripada Malaysia dipilih menerusi satu proses yang panjang. Ini satu kebanggaan buat kita.

"Insya-Allah, buat kali pertama dalam sejarah produk kecantikan ini, mereka akan tampil dengan kempen Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 2021. Sebelum ini, mereka tidak pernah anjurkan kempen Aidilfitri di Malaysia. Kempen ini juga bakal diperkenalkan di negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Singapura," ujarnya.


www.myartis.com / Sumber: Astro Gempak & Harian Metro


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: